ALOR SETAR: Sentimen bahawa Kerajaan Perpaduan ditunjangi hanya oleh UMNO dan DAP adalah tidak berasas sebaliknya merupakan naratif dimainkan pembangkang.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dakwaan tersebut sering diulang-ulang setiap kali berlangsungnya pilihan raya kecil (PRK) semata-mata untuk meraih sokongan pengundi.
“Penjelasan saya tentang UMDAP (UMNO-DAP) ini mudah sahaja, kerajaan ini bukan dibina atas UMNO dan DAP sahaja. Ia terbentuk hasil gabungan 18 parti yang berbeza,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, hari ini.
Jelas beliau, sekiranya hanya UMNO dan DAP bergabung, jumlah kerusi yang dimiliki hanyalah sebanyak 70 kerusi dan masih jauh daripada keperluan majoriti mudah iaitu 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.
“Sekarang ini, Kerajaan Perpaduan mempunyai 153 kerusi. Kita bermula dengan 148 kerusi, kemudian tolak satu (Muar) tinggal 147. Selepas itu, enam Ahli Parlimen daripada Bersatu menyatakan sokongan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 153,” ujarnya.
Ahmad berkata, walaupun parti Muda telah keluar daripada gabungan, penyertaan enam wakil rakyat Bersatu itu mengekalkan jumlah parti penyokong kerajaan kepada 18.
“Oleh itu, adalah tidak betul untuk menuduh kerajaan ini sebagai kerajaan UMDAP. Kita ada 18 parti, bacalah semua jangan hanya baca dua sahaja,” katanya.
Beliau mendakwa, perbezaan ketara antara pihak kerajaan dan pembangkang kini adalah naratif yang dibawa.
“Pembangkang main sentimen negatif dan kami pula membina naratif yang betul. Sebab itu rakyat memilih kami kerana kami bercakap benar.
“Saya juga meminta penjelasan ini dibawa oleh pemimpin-pemimpin UMNO bahagian untuk diterangkan sepanjang mesyuarat cawangan yang sedang berlangsung kini termasuk di peringkat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri,” katanya. – UTUSAN