Kerajaan Perak naikkan peruntukan bantuan mahasiswa RM4 juta

Kerajaan Perak naikkan peruntukan bantuan mahasiswa RM4 juta

SAARANI Mohamad semasa Sidang DUN Perak. - UTUSAN/Ihsan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Negeri Perak menaikkan peruntukan Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa tahun 2025 kepada RM4 juta berbanding RM2 juta tahun lalu, dalam usaha memperkasa kebajikan pelajar anak Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan itu dijangka memanfaatkan hampir 7,000 mahasiswa anak jati negeri ini yang melanjutkan pengajian sepenuh masa di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah.

“Selain bantuan sara diri, kerajaan negeri turut menyediakan Bantuan Kecemasan Mahasiswa bagi membantu pelajar yang menghadapi kesulitan mendesak seperti kemalangan, masalah kesihatan serius, kehilangan harta benda atau musibah tidak dijangka,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Kerajaan negeri turut menyediakan Bantuan Baucar Buku Mahasiswa dengan peruntukan sebanyak RM750,000, melibatkan 5,000 mahasiswa dengan nilai bantuan RM150 setiap seorang.

Permohonan bagi ketiga-tiga inisiatif dibuka mulai 16 April menerusi laman web rasmi www.eheyns.com.my. Tarikh tutup bagi Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan ialah 31 Mei, manakala Baucar Buku ditutup pada 16 Jun 2025.

Saarani turut mengumumkan penganjuran Jelajah AIM TVET Bersama Cikgu Saarani 2025 pada 19 April ini di Kompleks Belia Tapah. Program itu antara lainnya menampilkan Slot Dari Dapur Cikgu Saarani, Sembang TVET, demonstrasi kemahiran, pameran projek berimpak tinggi serta kursus jangka pendek.

Program berkenaan selaras dengan hasrat menjadikan Perak sebagai Koridor TVET Malaysia menjelang 2030.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN