Kerajaan negeri boleh larang jualan vape elak salah guna dadah

Kerajaan negeri boleh larang jualan vape elak salah guna dadah

AYOB Khan Mydin Pitchay menunjukkan botol cecair vape yang dirampas di sebuah makmal memproses dadah dalam Op Kenari ketika sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri untuk melarang penjualan vape bagi membantu mengatasi isu penyalahgunaan dadah yang dipercayai turut dicampur dalam rokok elektronik itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kerajaan negeri boleh menguatkuasakan perkara itu sementara menunggu Kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang berkaitan.

Menurut beliau, ada negeri yang telah mengambil inisiatif mengharamkan penjualan vape yang dilihat membawa impak baik terhadap masalah penyalahgunaan dadah.

“Sementara nak tunggu kerajaan pusat gubal satu undang-undang baru, kerajaan negeri boleh ambil tindakan sebab lesen untuk jual vape ini terletak di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan negeri itu ambil usaha untuk mengharamkan vape, walaupun ada lagi tapi penjualannya memang terhad. Maknanya PBT dan kerajaan negeri lain pun boleh keluarkan (larangan) kerana bagi saya vape lagi bahaya daripada rokok,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Untuk rekod, Johor sejak 1 Januari 2016 kekal melarang dan tidak mengeluarkan sebarang kebenaran lesen penjualan vape atau rokok elektronik di negeri itu susulan titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Kerajaan negeri itu menguatkuasakan undang-undang melarang menghisap vape termasuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang didapati melakukan urusan jual beli peranti berkenaan.

Tambah Ayob Khan, semua pihak perlu ada usaha menjurus ke arah itu kerana vape merupakan ancaman baru dalam konteks dadah yang jika tidak ditangani akan merosakkan masa depan golongan remaja.

“Ini kerana dalam kajian terbaru di Kelantan, umur supek paling muda terlibat vape adalah 13 hingga 17 tahun, ini majoriti pengguna vape dengan 31 peratus daripadanya pengguna aktif, tujuh peratus kerap dan 76 peratus lagi kenal dengan individu yang menggunakan vape.

“Sementara 82 peratus kandungan yang ada dalam vape adalah dadah sintetik seperti meth dan ekstasi, sebab itu bahayanya vape ini kalau tidak ditangani akan lagi ramai remaja terlibat,” katanya.

Beliau berkata, fentanyl yang juga dikenali sebagai ‘dadah zombi’ turut dikesan dalam vape yang mana penggunaan dadah itu 100 kali lebih berbahaya dan kuat berbanding morfin serta 20 hingga 40 kali lebih kuat daripada heroin.

Dalam perkembangan berkaitan ujarnya, makmal dadah yang diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam Op Kenari di negeri ini seperti dilaporkan semalam turut membongkar kegiatan memproses cecair vape serta mushroom yang mengandungi dadah.

“Dalam operasi itu kita menemukan makmal yang menghasilkan vape, terdapat 110 katrij vape dan 67 botol cecair vape yang dihasilkan di makmal ini. Walaupun untuk pasaran di Kedah tapi kebanyakkan dihantar ke Pulau Pinang dan Lembah Klang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya