TAPAH: Seramai 31,281 pengundi yang layak bakal menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning esok.
Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 63 saluran akan dibuka serentak bermula pukul 8 pagi dan ditutup secara berperingkat antara pukul 4 hingga 6 petang.
Seramai 601 petugas termasuk polis pengiring akan bertugas bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.
Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, semua pengundi digalakkan keluar mengundi pada tempoh masa yang ditetapkan dan dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat akhir.
Katanya, orang ramai juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan bagi membuktikan mereka adalah pemilih berdaftar di kawasan berkenaan.
“Mereka boleh memilih masa yang sesuai namun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini, kita sarankan untuk keluar awal.
“Pengundi juga perlu mematuhi larangan yang dikuatkuasakan iaitu tidak memakai pakaian yang memaparkan nama, lambang, simbol atau gambar parti apabila memasuki pusat mengundi esok,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan akhir oleh petugas SPR di Dewan Merdeka Tapah, di sini hari ini.
Menurut beliau, keputusan rasmi PRK DUN Ayer Kuning dijangka akan diperoleh sekitar pukul 9 malam esok. – UTUSAN