KUALA LUMPUR: Seorang seniman bukan sekadar pencipta karya tetapi penyambung warisan, pembentuk jiwa bangsa dan penjaga khazanah budaya.
Inilah peranan dimainkan oleh Chung Chen Sun dalam mengangkat seni dakwat Cina di Malaysia ke persada dunia.
Begitulah warisan agung diabadikan dalam Pameran Projek Arkib: Chung Chen Sun bermula 4 Mac hingga 1 September 2025 di Balai Seni Negara, satu penghormatan penuh makna kepada maestro seni dakwat Cina yang mengubah wajah seni Malaysia.
Chung Chen Sun, nama tidak asing lagi dalam dunia seni. Beliaulah penjaga warisan, penghubung budaya dan perintis yang membawa seni dakwat klasik ke pentas dunia tanpa melupakan akarnya.
Dalam setiap lukisan, Chung tidak hanya mengekspresikan bentuk dan warna tetapi menterjemahkan falsafah Sanjiao iaitu perpaduan nilai Konfusianisme, Taoisme dan Buddhisme sebagai panduan kehidupan dan seni.

Menurut Penolong Kurator Balai Seni Negara, Steve Lai Chan Shiang, pameran ini adalah penghormatan kepada seorang tokoh yang membentuk landskap seni tanah air serta membina generasi baru seniman berjiwa budaya.
“Ini bukan sekadar pameran lukisan, ia adalah usaha memelihara legasi seorang pendidik, seorang penghubung budaya dan seorang pejuang seni yang berfikiran progresif.
“Menerusi karyanya, terserlah bagaimana seni mampu melampaui batas politik dan geografi, menghubungkan tradisi budaya Cina dengan perkembangan seni moden global,” katanya.
Pameran ini dibahagikan kepada enam segmen utama iaitu Nasional ke Antarabangsa, Pertukaran Budaya dan Seni Malaysia-China, Modernisasi Lukisan Dakwat, Pendidikan Seni, Peribadi dan Keluarga, serta Penderma Karya Seni di mana setiap satu membuka lembaran kisah bagaimana seni dakwat berkembang, bermula dari tangan seorang seniman berjiwa besar.
Sebagai pengasas Malaysian Institute of Art (MIA), Chung tidak hanya mengasah bakat seni tetapi menanamkan nilai-nilai moral dan budaya dalam generasi muda, meletakkan seni sebagai alat untuk membina bangsa.
Pelbagai nilai-nilai ditampilkan melalui simbolisme, puisi, komposisi serta semangat harmoni dan keseimbangan. Konfusianisme dapat dilihat dalam tema moral dan keluarga; Taoisme dalam keindahan alam dan spontaniti; manakala Buddhisme pula dalam penghayatan spiritual dan ketenangan.
Dengan kelulusan dan sokongan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau mengadakan lawatan rasmi ke China pada 1988 atas jemputan Menteri Kebudayaan China, menyemai benih hubungan diplomatik dalam bidang seni dan budaya antara kedua-dua negara.
Beliau menganjurkan pameran seni Malaysia di China sejak awal tahun 1990an, merintis era baru pertukaran budaya dua hala yang kekal berakar hingga kini.
“Chung tidak sekadar mengajar teknik seni, beliau mendidik tentang makna budaya dan nilai kemanusiaan melalui karya-karyanya.
“Pameran ini bukan sahaja menghargai seni tetapi turut menghargai jiwa dan warisan budaya kita sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.
Mengunjungi Pameran Projek Arkib: Chung Chen Sun bukan sekadar menatap karya seni tetapi sebuah perjalanan merasai denyut nadi falsafah, budaya dan jiwa seorang seniman yang percaya bahawa seni mampu menyatukan manusia dalam bahasa paling universal iaitu bahasa hati.
Pameran Projek Arkib Chung Chen Sun merupakan projek inisiatif ketiga Balai Seni Negara dan boleh dikunjungi oleh orang ramai untuk memahami bagaimana budaya Cina terus hidup dan berkembang melalui seni.
Orang ramai dijemput melawat pameran ini dan menghayati kehalusan seni dakwat Cina, ketokohan Chung Chen Sun serta inspirasi nilai budaya yang ditinggalkan untuk generasi masa depan. – UTUSAN