Kementerian Pertahanan urus perbelanjaan dengan baik

Kementerian Pertahanan urus perbelanjaan dengan baik

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan berjaya membelanjakan dengan baik dan teratur keseluruhan perbelanjaan mengurus (OE) dan 98.52 peratus perbelanjaan pembangunan (DE) tahun lalu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan kementerian tersebut telah meningkat daripada RM 19.732 bilion kepada RM21.13 bilion tahun ini.

Katanya, peruntukan yang besar sekali gus meletakkan Kementerian Pertahanan antara tiga kementerian utama yang menerima peruntukan tertinggi.

“Peningkatan sebanyak 7.08 peratus ini membuktikan kepercayaan dan keyakinan Kerajaan Madani kepada keupayaan kita menguruskan perbelanjaan yang diamanahkan dengan cekap.

“Saya yakin, tanpa kerja keras dan sokongan daripada semua unit dan bahagian di bawah Kementerian Pertahanan, kita tidak mungkin mencapai prestasi yang cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, prestasi dan kecemerlangan Kementerian Pertahanan tidak hanya terhad kepada keupayaan pengurusan peruntukan semata-mata.

“Saya tekankan tiga perkara penting yang harus diberi perhatian dalam usaha pengekalan dan penambahbaikan tadbir urus dan tahap kecemerlangan perkhidmatan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun ini.

“Pertama, budaya kerja cemerlang dan tadbir urus berprestasi tinggi dalam perkhidmatan awam. Jadi saya menyeru semua warga kementerian dan ATM untuk serius melaksanakan perubahan, memacu pembaharuan serta membudayakan kerja yang lebih dinamik, berkualiti, produktif dan berkesan demi rakyat dan negara.,” jelasnya.

Selain itu kata Mohamed Khaled, warga kementerian itu juga perlu meningkatkan keupayaan dan kesiagaan kementerian untuk melangkah ke era baharu perkhidmatan awam yang moden.

“Dalam dunia yang semakin canggih dan sarat dengan teknologi disruptif, kecekapan apa-apa jua perkhidmatan sangat bergantung kepada keupayaan menggunakan teknologi dan sistem digital yang efisien.

“Pemodenan menyeluruh terhadap sistem perkhidmatan bukan lagi satu pilihan. Tetapi sudah satu menjadi keperluan mendesak demi penyampaian perkhidmatan yang lebih tangkas, mapan dan berdaya saing,” katanya.

Mohamed Khaled juga berkata, kecemerlangan kementerian juga adalah hasil kerjasama kolektif dan sokongan padu daripada seluruh warga kementerian.

“Kejayaan kita sebagai sebuah kementerian bukanlah hanya terletak pada dasar dan perancangan strategik semata-mata.

” Kecemerlangan yang dicapai adalah hasil komitmen, dedikasi serta keupayaan kolektif kita sebagai tenaga kerja yang saling mendukung satu sama lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN