KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan menubuhkan Majlis Pembangunan Halal untuk penyelarasan serta membangunkan industri halal tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd. Asri Mat Daud berkata, setakat ini, satu jawatankuasa induk telah ditubuhkan dengan persetujuan daripada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Jawatankuasa induk yang baru ditubuhkan ini akan mengadakan mesyuarat pertama pada bulan ini. Tujuan utama penubuhan Majlis Pembangunan halal ini adalah untuk memastikan penyelarasan agenda halal di seluruh negeri termasuk berkaitan kajian serta penyelidikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Halal Kias di Dewan Johor Kias, Nilam Puri, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Asri berkata, Taman Industri Halal Pasir Mas yang dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) juga memainkan peranan dalam industri halal di peringkat global. – UTUSAN