KOTA BHARU: Polis Kelantan sedang berusaha mengekang dan melenyapkan semua kegiatan jenayah sempadan yang berlaku di kawasan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di negeri ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sasaran penurunan 100 peratus jenayah rentas sempadan itu berpandukan kepada pengurangan sebanyak 90 peratus sejak kawalan ketat dilaksanakan bermula 1 Disember lalu.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu perlu mengambil kira keadaan semasa di Sungai Golok sepanjang 136 kilometer yang kini dikawal ketat oleh pihak berkuasa.
“Polis Kelantan akan berusaha ke arah mencapai 100 peratus penurunan jenayah rentas sempadan. Paling penting adalah kita mahu memberi kesedaran kepada semua masyarakat.
“Kita bersama Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin bersama agensi lain sentiasa menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Alhamdulillah, jenayah rentas sempadan di Kelantan terus menurun 90 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini. – UTUSAN