SUNGAI PETANI: Kerajaan negeri Kedah tidak menolak kemungkinan untuk mengharamkan penjualan vape atau rokok elektronik seperti yang telah dilaksanakan Johor sejak 2016.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara tersebut akan dibincangkan pada mesyuarat Exco minggu depan.
“Kalau boleh kita pun nak ikut macam Terengganu juga (akan mengharamkan jualan). Mereka kata vape ini sangat bahaya, lebih bahaya daripada rokok, bahan kimia banyak dan ada dadah ‘mushroom’ dimasukkan.
“Jadi kita akan cuba bincangkan perkara ini dan buat yang terbaik demi anak-anak kita,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Akademi Darul Ilmi (ADI) di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Perlis dan Terengganu bakal mengharamkan penjualan rokok elektronik tersebut.
Ia susulan saranan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang mencadangkan kerajaan-kerajaan negeri mengikut langkah Johor yang menguatkuasakan larangan itu melalui peruntukan undang-undang di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi tetap berpuas hati dengan sokongan pengundi teras Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning meskipun tewas kepada Barisan Nasional (BN).
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, sokongan pengundi teras PN tidak berkurang namun peratusan keluar mengundi yang rendah menyebabkan PN mengalami kekurangan sebanyak 800 undi.
“Bilik gerakan baru sahaja hantar analisis, saya pun tak sempat nak baca lagi. Tetapi daripada segi keseluruhan pengundi PN tidak berkurang tetap ‘maintain’ kita punya pengundi teras di sana.
“Walaupun tidak bertambah tetapi dengan merosotnya peratusan keluar mengundi cuma 57 peratus sahaja, undi kita ‘maintain’ dan cuma kurang 800 undi sahaja,” katanya. – UTUSAN