Kebakaran asrama: Tindakan pantas warden, selamatkan 91 nyawa

Kebakaran asrama: Tindakan pantas warden, selamatkan 91 nyawa pelajar

Warden Asrama, Muhd Nazmie Muhd Nasir pada kejadian kebakaran di SMK Tinggi Setapak, di sini hari ini. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas seorang warden menyelamatkan 91 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak dalam kebakaran asrama sekolah itu malam tadi.

Warden berkenaan, Muhd Nazmie Muhd Nasir, 31, berkata, kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam disedari apabila beliau terdengar bunyi kaca pecah.

“Sebaik sahaja mendengar bunyi itu, saya terus mengarahkan semua pelajar keluar dari asrama. Kami membunyikan loceng penggera kecemasan dan memastikan semua pelajar berkumpul di kawasan selamat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil latihan kebakaran yang pernah dilaksanakan sebelum ini, semua pelajar bertindak pantas serta berdisiplin ketika menyelamatkan diri.

“Alhamdulillah, semua pelajar berjaya dikeluarkan tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhd Nazmie berkata, kebakaran itu menyebabkan kerugian dianggarkan puluhan ribu ringgit melibatkan pelbagai barangan.

Antara peralatan yang musnah termasuk penghawa dingin, komputer riba, televisyen, mesin basuh, peti ais, selain pakaian dan kasut sekolah milik pelajar.

Bagaimanapun, katanya, sesi pembelajaran  tidak terjejas apabila pihak sekolah segera melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk memastikan kesinambungan akademik pelajar.

“Asrama ini hanya menempatkan pelajar lelaki dengan enam buah dorm keseluruhannya. Semua bilik mengalami kerosakan teruk dan kami sedang menunggu bantuan penuh bagi membekalkan keperluan baharu kepada para pelajar,” ujarnya.

Tambah beliau, pihak sekolah juga sedang berusaha memastikan para pelajar dapat meneruskan kehidupan seperti biasa dengan sokongan daripada pelbagai pihak.

Sebelum ini, sebuah blok asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak, di sini yang menempatkan kira-kira 91 pelajar lelaki, terbakar dalam kejadian malam tadi.

Dalam kejadian itu semua pelajar selamat berikutan berada di surau sekolah menunggu waktu Isyak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya