PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjalankan siasatan ke atas pihak yang terlibat dalam satu lagi insiden paparan video Jalur Gemilang tanpa bulan sabit yang berlangsung di sebuah pusat pameran di ibu negara, minggu lalu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesemua pihak yang didapati terlibat itu bakal melalui proses siasatan yang sama seperti yang dilakukan terhadap akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily.
“Kes itu selepas kami mengambil tindakan ke atas Sin Chew (kerana) orang awam juga mengangkat insiden yang sama.
“Mereka juga akan melalui proses yang sama daripada pihak KDN,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.
Pada Sabtu, penganjur ekspo produk bayi dan salah sebuah pempamernya telah memohon maaf susulan satu lagi insiden melibatkan penggunaan imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap.
Insiden itu dilaporkan melibatkan video promosi untuk sebuah syarikat, Singapore Lactation Bakes (SLB) yang dipaparkan di skrin besar semasa berlangsungnya ekspo produk bayi tersebut.
Mengulas berhubung siasatan terhadap Sin Chew Daily, Saifuddin berkata, pihak akhbar berkenaan telah memberikan maklum balas mereka kepada KDN semalam.
“Seperti biasa kita mesti menjalankan tugas dengan baik, cekap dan profesional. Kita akan membuat satu-satu keputusan berasaskan kepada fakta yang mereka berikan penjelasan.
“Jadi hal itu masih lagi sedang diteliti sebelum langkah seterusnya dapat kita muktamadkan,” katanya.
Saifuddin turut memberi peringatan kepada semua pihak bahawa bendera Jalur Gemilang adalah lambang identiti kepada negara yang membawa pelbagai maksud dan makna.
Justeru, katanya, sebarang bentuk kelalaian, kealpaan atau kecuaian yang boleh mengundang rasa resah di kalangan masyarakat perlu dielak.
“Tapi kalau itu sudah berlaku, kita akan tangani dengan penuh tanggungjawab dan juga kebijaksanaan berdasarkan undang-undang,” katanya.
Pada 15 April lalu, Sin Chew Daily menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbarnya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran. – UTUSAN