PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi yang terlibat dalam aspek kawalan keselamatan yang luar biasa sepanjang lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Xi turut menyampaikan ucapan terima kasih menerusi Perdana Menteri atas kawalan keselamatan yang disediakan sepanjang keberadaan beliau di negara ini.
“Pada akhir lawatan (negara) malam itu saya baca WhatsApp Perdana Menteri kepada kumpulan Kabinet.
“Apa yang dibisikkan oleh Presiden Xi Jinping sebelum naik kapal terbang (semasa) Perdana Menteri pergi hantar (beliau), dia cakap terima kasih kerana kawalan keselamatan yang luar biasa,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.
Xi memulakan lawatan negara ke Malaysia bermula 15 hingga 17 April lalu atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Mengulas lanjut, Saifuddin turut memuji PDRM dan agensi lain kerana telah melaksanakan tugas kawalan keselamatan ke atas tetamu negara dengan amat baik.
“Memang kawalan yang luar biasa, kawalan dengan ditutup jalan (dan) dengan helikopter, penginapannya kita ada tiga layer (tiga lapis kawalan kesemalatan),” katanya.
Terdahulu, dalam majlis tersebut, Saifuddin turut melancarkan Sistem Pengurusan Aduan dan Kendalian Siasatan (SPEAKS) yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) bagi memudahkan orang awam untuk mengemukakan aduan mereka.
Jelas beliau, sebarang aduan berkait polis yang ingin dikemukakan menerusi sistem tersebut perlu dilengkapi dengan butiran lengkap seperti tarikh, masa, lokasi dan individu yang terlibat.
“Sistem SPEAKS ini sudah pun berjalan dengan baik berdasarkan kepada maklum balas (yang diterima),” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, Program Liberalisasi Visa (PLV) untuk pelancong China akan dilanjutkan selama lima tahun susulan persetujuan yang dicapai menerusi salah satu Memorandum Persefahaman (MoU) dalam pelbagai sektor kerjasama semasa lawatan Presiden China.
“Kita lanjutkan untuk lima tahun ke depan dan sejurus tamat lima tahun, opsyennya adalah kita sambung lagi lima tahun iaitu tempoh 90 hari keberadaan rakyat mereka (China) di negara kita sebagai pelancong.
“Dan mereka (China) pun ‘reciprocate’, timbal balas yang sama juga kepada kita,” katanya.
Pada November 2023, Anwar mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia mulai 1 Disember 2023 dalam semangat strategic partnership hubungan dua hala Malaysia-China yang menjangkau 50 tahun.
Anwar dilaporkan berkata, ia merupakan tambahan kemudahan pengecualian visa sedia ada yang kini dinikmati rakyat dari Negara Teluk dan lain-lain negara di Asia Barat. – UTUSAN