Karipap sejuk beku hasil tangan banduan PRP Mantin laris

Karipap sejuk beku hasil tangan banduan PRP Mantin laris

Karipap sejuk beku yang dihasilkan banduan di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin di sini cukup laris termasuk mendapat tempahan dari pelbagai agensi dan jabatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Karipap sejuk beku yang dihasilkan banduan di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin di sini cukup laris termasuk mendapat tempahan dari pelbagai agensi dan jabatan.

Tenaga pengajar di pusat berkenaan, Sarjan Ruzita Mohd. Hashim, 42, berkata, penggunaan tepung untuk menghasilkan karipap berkenaan semasa bulan Ramadan lalu juga meningkat berbanding biasa.

“Biasanya sebanyak enam kilogram (kg) tepung digunakan tetapi bulan Ramadan lalu, hampir 100 kg tepung diguna pakai. 

“Memang kami tidak menang tangan selepas menerima tempahan daripada pelbagai agensi dan juga orang perseorangan bagi projek karipap sejuk beku ini. 

“Di sini, mereka (banduan) menghasilkan sebanyak enam jenis karipap yang berintikan kentang ayam, daging, sardin dan kambing. Inti kentang kambing antara yang laris dan menjadi pilihan ramai,” katanya ketika ditemui di sini. 

Katanya, banduan yang terlibat dalam projek karipap sejuk beku ini adalah mereka yang akan ditempatkan ke dalam industri selepas ini.

“Bagi projek karipap sejuk beku pada Ramadan lalu, seramai enam banduan warga tempatan terlibat dan mereka diberi tunjuk ajar daripada segi penghasilan karipap bermula daripada membuat inti sehinggalah menghasilkan kulit karipap. 

“Kebanyakan mereka yang terlibat dalam projek ini tiada kemahiran dan pengalaman langsung namun berkat hasil dan tunjuk ajar, mereka mampu melaksanakan dengan baik,” katanya. 

Sementara itu, seorang banduan dikenali sebagai Amir berkata, dia berhasrat untuk menjual karipap di kampungnya di Felda Palong 4, Gemas selepas selesai menjalani hukuman. 

“Banyak kemahiran dan ilmu dapat saya pelajari di sini (penjara). Membuat karipap sejuk beku ini adalah salah satu kemahiran yang boleh saya jadikan sebagai satu pekerjaan nanti. 

“Nak buat pun tidak susah mana, asalkan ada usaha dan niat untuk menjadi seorang yang lebih baik,” katanya yang menjalani hukuman penjara selama lima tahun dan satu sebatan atas kesalahan penagihan dadah berulang.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN