PETALING JAYA: Ahli PKR Cabang Selayang, Kamarudin Mohd. Hussain akur dengan keputusan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang menafikan kemenangannya dalam pemilihan baru-baru ini walaupun mengakui kecewa kerana haknya yang diperoleh melalui proses demokrasi diketepikan.
Kamarudin berkata, berdasarkan Notis Peraturan Pemilihan yang dikeluarkan sebelum hari pengundian, beliau layak bertanding dan memegang jawatan, sama seperti wakil-wakil rakyat lain yang menghadapi pendakwaan di mahkamah.
“Perlembagaan negara memperuntukkan bahawa seseorang tidak dianggap bersalah sehingga mahkamah mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman.
“Namun, keputusan mesyuarat selepas kemenangan saya tidak memihak, walaupun ahli-ahli akar umbi telah membuat pemilihan dan memberikan kepercayaan untuk saya memimpin Cabang Selayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pemilihan parti baru-baru ini, Kamarudin yang merupakan muka baharu berjaya menewaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat, yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR bagi jawatan Ketua Cabang Selayang.
Bagaimanapun, Kamarudin berkata, beliau tetap menghormati keputusan parti dan berpegang teguh kepada semangat reformasi yang menjadi asas perjuangan PKR.
“Sebagai ahli Keadilan saya amat menghormati keputusan parti. Namun, sebagai manusia biasa, saya tidak dapat menafikan rasa sedih dan kesal terhadap keputusan yang menafikan hak serta kemenangan saya melalui platform demokrasi.
“Saya berharap kesedihan dan kekecewaan ini tidak akan melemahkan semangat ahli-ahli akar umbi untuk terus bersama dalam perjuangan parti,” katanya.
Pada masa sama, beliau berikrar untuk terus menyantuni ahli-ahli terutama golongan veteran parti, dan berusaha mengukuhkan PKR demi kelangsungan perjuangan reformasi.
Kelmarin, Pengerusi JPP 2025, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, proses pengundian semula empat cabang iaitu Cabang Jempol, Selayang, Silam dan Semporna akan dijalankan pada 1 Mei ini. – UTUSAN