JPJ tidak akan tunduk ugutan tonto - Utusan Malaysia

JPJ tidak akan tunduk ugutan tonto

ANTHONY Loke Siew Fook merasmikan sambutan ulang tahun Hari JPJ Ke-79 di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Pengangkutan memberi amaran kepada tonto atau kumpulan samseng supaya tidak menghalang atau mengugut anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika menjalankan penguatkuasaan.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, anggota JPJ adalah mewakili kerajaan Malaysia dan sebarang gangguan terhadap mereka merupakan satu tindakan mencabar kedaulatan undang-undang negara.

“Kita tidak akan tunduk kepada segala ugutan. Ini mesej yang saya mahu berikan secara jelas kepada tonto-tonto di luar sana. Mungkin mereka dilindungi atau diupah.

“Anggota JPJ hanya menjalankan tugas mengikut undang-undang dan melaksanakan kerja mereka,” katanya semasa berucap dalam majlis peluncuran sambutan ulang tahun Hari JPJ Ke-79 di sini hari ini.

Siew Fook berkata, beliau memberikan keyakinan kepada anggota JPJ supaya menjalankan tugas tanpa rasa takut serta tanpa kompromi.

Beliau menyedari ada pihak tidak selesa dengan penguatkuasaan yang dibuat terutama dalam kalangan pengusaha-pengusaha kenderaan berat.

Menteri itu turut memberikan contoh-contoh terdapat kes bagaimana tindakan beberapa individu enggan memberi kerjasama kepada anggota semasa sekatan jalan raya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada jabatan tersebut yang berusia 79 tahun dengan menghadapi pelbagai rintangan sebagai barisan hadapan.

“Ramai mungkin tidak tahu betapa perit dan susahnya warga JPJ dalam menjalankan tugas berpanas berhujan. Tugas sebagai anggota JPJ bukanlah tugas yang boleh dipandang enteng kerana ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar yang disertai dengan risiko,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN