SEPANG: Jemaah Haji Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa membawa kad Nusuk bersama ketika ingin menunaikan apa-apa rukun haji ketika di Tanah Suci nanti.
Peringatan itu diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika melepaskan seramai 284 jemaah haji kumpulan penerbangan pertama negara yang berlepas ke Madinah sekitar pukul 4 pagi tadi.
Menurutnya, kad Nusuk itu amat penting bukan sahaja kepada Jemaah Haji Malaysia tetapi jemaah dari seluruh dunia.
“Kalau katakan jemaah nak masuk ke Arafah, Mina, Masjid Al-Haram atau Masjid Al-Nabawi, tanpa ada kad ini mereka tak boleh masuk.
“Jadi dia kena sentiasa bawa kad Nusuk ini ke mana-mana kerana ia adalah kad pengenalan rasmi yang diperkenalkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi ketika berada di Tanah Suci,” katanya.

Mohd Na’im berkata, tahun ini adalah tahun ketiga kad Nusuk diperkenalkan bagi kegunaan jemaah Haji.
“Tahun ini, ciri-ciri keselamatan pada kad Nusuk telah dipertingkat yang membolehkan ia sukar ditiru oleh mana-mana pihak,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Jemaah Haji Malaysia memperoleh keistimewaan apabila kad Nusuk untuk pengesahan melaksanakan rukun Islam kelima itu diberikan kepada mereka sebelum berlepas ke tanah suci.
Tahun lepas, kad Nusuk diserahkan di Mekah menjelang Wukuf, namun tahun ini ia diagihkan lebih awal bagi memudahkan pergerakan jemaah.
Ketua Rombongan Haji Tabung Haji, Mohd. Hisham Harun dilaporkan berkata, kad Nusuk diterima Malaysia mempunyai pelbagai ciri keselamatan digital seperti kod QR dan data biometrik yang berkaitan dengan maklumat peribadi jemaah haji.
Kad itu turut memudahkan petugas dalam menentukan identiti setiap jemaah apabila dilengkapi dengan ciri pelbagai fungsi untuk memudahkan proses mengerjakan haji selain mengelakkan orang ramai terlibat dalam penipuan haji.
Gabungan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan dan pangkalan data yang komprehensif menjadikan kad Nusuk sangat sukar untuk ditiru bagi tujuan salah guna oleh mana-mana syarikat penyedia perkhidmatan haji. – UTUSAN