JBPM hantar 5 penyiasat teknikal ke Pusat Kawalan Utama Petronas Segamat

JBPM hantar 5 penyiasat teknikal ke Pusat Kawalan Utama Petronas Segamat

NOR Hisham Mohammad mengiringi Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa berlepas ke Nepal ketika Majlis Perlepasan Pendakian Amal Bomba de Everest di KLIA 1. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini menghantar sepasukan penyiasat teknikal ke Pusat Kawalan Utama Petronas di Segamat, Johor bagi mendapatkan maklumat lanjut serta log data berkaitan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selasa lalu.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, selepas menjalankan proses penilaian kerugian dan kerosakan kediaman yang terlibat, fokus JBPM kini tertumpu kepada siasatan dari segi teknikal.

“Sekarang tumpuan kita terbahagi kepada dua iaitu membantu kerja-kerja mengepam air menggunakan dua buah pam di lapangan sekiranya diperlukan dan kita juga menumpukan siasatan dari segi teknikal.

“Lima pegawai yang kita lantik sebagai penyiasat teknikal telah kita hantar ke Segamat untuk mendapatkan maklumat lanjut serta log data tiga minggu (sebelum kejadian), sebelum kita membuat analisa lanjut bagaimana dapatan itu boleh merungkai kepada kejadian letupan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pendakian Amal Bomba de Everest ‘Mencari Hati Emas’ 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Kebakaran saluran gas Petronas yang berlaku pada pukul 8.10 pagi pada Selasa lalu menyaksikan api yang menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celcius, menyebabkan bomba terpaksa mengambil masa hampir lapan jam untuk memadamkan kebakaran tersebut sepenuhnya.

Insiden itu mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar, manakala sebanyak 218 rumah tidak terjejas.

Jelas Nor Hisham, pasukan penyiasat teknikal itu ditugaskan untuk mendapatkan log data saluran gas termasuk faktor tekanan gas yang dipercayai dapat membantu dalam siasatan insiden kebakaran tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Nor Hisham meminta kepada pemilik rumah yang telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing untuk memaklumkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menemui sebarang kesan retakan.

“Berdasarkan kepada lokasi dan penilaian dalaman, saya boleh katakan sebanyak 218 rumah yang telah kita nilai itu memang tidak terjejas dari segi struktur sama ada dari impak gegaran atau pendedahan kepada haba.

“Ada juga rumah yang kita pada nilai peringkat awal, kita dapati tidak terdedah kepada haba atau kebakaran barangan dan sebagainya, ada juga yang akibat gegaran menyebabkan syiling rosak, itu kita telah ambil kira dan yang lain itu kita dapati bahawa ia tidak terjejas.

“(Tetapi) kalau ada kesan retak kena maklum kepada pihak berkuasa dan kita buat penilaian semula,” ujarnya.

Media hari ini melaporkan nilai kerugian dan kerosakan kediaman yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dianggarkan sebanyak RM65.4 juta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu berdasarkan pemerhatian yang dilakukan pasukan teknikal diketuai oleh JBPM terhadap 437 rumah yang dikenal pasti sebagai angka muktamad kediaman terlibat dalam insiden itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN