KUALA TERENGGANU: Jari manis seorang kanak-kanak hampir putus akibat ditimpa simen penutup longkang ketika menyelamatkan seekor anak kucing di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, di sini, semalam.
Muhammad Aiman Haziq Mohd. Raffizi, 10, berjaya mengeluarkan anak kucing itu namun tangan kanannya cedera akibat insiden tersebut.
Ibunya, Sharifah Nurul Fatihah Sayed Saiful Amizat, 37, berkata, anak ketiganya itu memberitahu ingin keluar bermain bersama kakaknya, Nur Afrida Humayraa, 13, dan seorang rakan mereka sekitar pukul 3 petang.
Katanya, tidak lama selepas itu, Nur Afrida Humayraa pulang dalam keadaan cemas dan memberitahu jari Muhammad Aiman Haziq hampir putus akibat terkena penutup longkang.
“Saya nampak darah banyak menitis di atas lantai dan waktu itu jari anak saya telah terkulai,” katanya di sini, hari ini.
Sharifah Nurul Fatihah berkata, dia menghubungi suaminya, Mohd Raffizi Abd Rashid, 40, untuk membawa anak mereka ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan menerima rawatan segera di zon kritikal.
“Agak sedih bila doktor beritahu jari manis tangan kanan anak saya berisiko dipotong sekiranya sambungan urat dan tulang tidak berjaya dilakukan. Namun, dalam masa sama rasa bangga kerana Muhammad Aiman Haziq ditimpa ujian itu ketika menyelamatkan kucing dan saya mohon doa orang ramai agar dia segera sembuh,” katanya. – UTUSAN