PUTRAJAYA: Parti-parti politik dinasihatkan supaya tidak menjadikan ayat-ayat al-Quran dan hadis sebagai modal di pentas ceramah bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia termasuk sekiranya perkara yang diucap itu melibatkan pandangan hukum.
Beliau berkata, adalah lebih baik sekiranya perkara itu dielakkan dan dirujuk sahaja kepada pihak berautoriti seperti jabatan mufti atau badan agama di negeri-negeri.
“Pada saya, kalau ia melibatkan pandangan hukum, sebaik-baiknya tidak mengelakkan sebarang kekeliruan di kalangan rakyat.
“Sepatutnya kita rujuk kepada pihak-pihak yang berautoriti. Maknanya, kalau melibatkan satu pandangan hukum, boleh rujuk kepada jabatan mufti dan negeri-negeri, sebab ini adalah pihak yang berautoriti.
“Tetapi, kalau secara umumnya kalau mana-mana pihak nak merujuk kepada ayat al-Quran, kepada hadis saya rasa bergantung. Cuma, jangan salah gunakan untuk kepentingan politik, itu yang paling utama,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serahan Sumbangan dan Pelancaran Bangunan Ibu Pejabat Baharu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM) di sini, hari ini.
Mohd Na’im berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan pemimpin parti-parti politik yang sering menggunakan agama sebagai bahan kempen bagi meraih undi khusus menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning ketika ini.
Media sebelum ini melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi bayangan supaya umat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.
Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik. – UTUSAN