TAPAH: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak seharusnya menjadi platform untuk menanam politik kebencian dalam kalangan penduduk setempat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja memecahkan komuniti tempatan malah mengancam perpaduan negara.
Katanya, bibit-bibit kebencian yang dilontarkan termasuk ‘sweeping statement’ atau kenyataan yang terlalu menyeluruh tanpa berasaskan fakta itu akan meninggalkan kesan dalam hati rakyat.
“Orang yang datang kempen ini hanya 14 hari, selepas itu dia balik dan yang tinggal adalah penduduk di Ayer Kuning.
“Dalam tempoh 14 hari ini, jika mahu naik pentas untuk berkempen silakan kerana ini adalah pesta demokrasi dan keamanan polis jaga tapi kalau naik pentas dengan maki hamun habislah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Sukarelawan Malaysia Daerah Batang Padang, di sini hari ini.
Menurut beliau, semua pihak sepatutnya memberi fokus kepada usaha mempromosikan calon dan menawarkan komitmen mereka bagi membolehkan rakyat membuat penilaian sebelum membuat pilihan pada Sabtu ini.
“Nak angkat calon kamu, nak julang dan nak solek, silakan. Berikan alasan apabila pilih calon ini, politik negeri akan lebih stabil. Pilih calon ini, politik negeri akan diwakili calon kompeten. Pilih calon ini, akan bawa kepada pembangunan dan menjadi wakil membantu menyelesaikan isu-isu rakyat.
“Tapi bila kata, pilih calon kami kerana calon dan parti lawan akan menyebabkan Islam terancam, janganlah. ‘Sweeping statement’ seperti itu akan menimbulkan bibit-bibit kebencian,” katanya.
Tambahnya, keamanan yang dinikmati ketika ini tidak menjamin situasi sama pada masa depan justeru ia wajar dilindungi tanpa sebarang anasir yang mampu memecahbelahkan perpaduan masyarakat.
“Sejak sekian lama kita hidup dalam masyarakat berbilang bangsa, budaya dan agama. Tentunya keamanan ini disumbangkan oleh keadaan politik yang stabil.
“Keadaan ini tidak boleh kita ambil mudah kerana kalau dulu aman, sekarang aman jadi akan aman selama-lamanya. Perkara itu tidak terjadi jika ada elemen-elemen atas nama politik memilih jalur berbeza yang akhirnya menjadi asas untuk menanam kebencian,” katanya. – UTUSAN