Jambatan bailey Sungai Liat dibuka minggu depan - Utusan Malaysia

Jambatan bailey Sungai Liat dibuka minggu depan

AHMAD Maslan menunjukkan keadaan jambatan Sungai Liat yang runtuh ketika meninjau lokasi kejadian di Felda Sungai Klah di Sungkai hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Jambatan bailey yang dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di lokasi jambatan runtuh di Sungai Liat, Sungkai di sini akan dibuka Rabu depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerja-kerja pembinaan jambatan tersebut akan siap sepenuhnya pada Ahad ini.

”Jambatan Bailey akan sampai petang ini dan pemasangan jambatan akan bermula esok.

“Setelah pemasangan jambatan selesai, kita kena perbaiki jalan untuk menghubungkan antara dua tempat yang terpisah ini,” katanya kepada pemberita ketika melawat jambatan Sungai Liat yang runtuh di Felda Sungai Klah, Sungkai di sini hari ini.

Menurutnya, orang ramai termasuk penduduk boleh mula menggunakan jambatan tersebut pada 30 April iaitu Rabu depan.

Ujarnya, jambatan tersebut terletak di bawah pengurusan Felda, dan penyelenggaraannya juga di bawah tanggungjawab Felda.

“Tetapi selepas ini kita akan mendaftarkannya untuk dipindahkan di bawah penyelenggaraan Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS) dan proses pendaftaran tersebut telah pun dijalankan.

“Seterusnya, segala kerja penyelenggaraan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri melalui MARRIS, iaitu peruntukan tahunan daripada kerajaan persekutuan kepada negeri,” katanya.

Menurutnya, kemudahan pengangkutan akan disediakan jika ada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mahu mengambil keputusan peperiksaan tersebut pada Khamis ini.

“Kita tak pasti ada pelajar yang akan mengambil keputusan SPM tetapi jika ada kita akan menyediakan kemudahan untuk mereka,” katanya.

Ahad lalu kira-kira 500 orang terjejas akibat jambatan tersebut runtuh yang menghubungkan Felda Residence Hotspring, Buyong Mas Sanctuary Campsite dan Kampung Orang Asli Sungai Tisong serta beberapa lokasi perkhemahan kecil.

Terdapat laluan alternatif yang boleh digunakan orang ramai bagi mengakses lokasi terjejas namun ia hanya boleh dilalui menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau motosikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya