PETALING JAYA: Kerajaan digesa untuk tidak menerima permohonan maaf daripada sebuah akhbar berbahasa Cina yang menerbitkan cetakan ilustrasi Jalur Gemilang tidak mempunyai lambang bulan sabit.
Bekas Menteri Pendidikan, Prof Dr. Maszlee Malik berkata, permohonan maaf yang dibuat oleh akhbar tersebut hanya boleh diterima jika kesalahan itu dilakukan oleh orang yang jahil, dungu dan tersilap.
“Sebuah akhbar yang tersohor berusia hampir seratus tahun iaitu diasaskan pada 1929, mempunyai pembaca lebih setengah juta serta mempunyai ketua pengarang dan para pengarang berpengalaman melakukan kesilapan pada bendera negara sendiri?
“Apakah permohonan maaf kecil sahaja memadai? Seseorang perlu ambil tanggungjawab! Sama ada letak jawatan atau dihadapkan ke muka pengadilan. Jika tidak, maruah negara dan bendera negara akan berterusan diperlecehkan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, akhbar berkenaan mengeluarkan cetakan akhbar yang memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit, bersebelahan bendera China di atas sebuah kapal bersempena lawatan Presiden China, Xin Jinping ke negara ini.
Akhbar tersebut memohon maaf atas ‘kesilapan teknikal’ itu sambil menzahirkan rasa kesal dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia.-UTUSAN