PETALING JAYA: Sebanyak tujuh negara menerima peluang agihan daging korban bersempena Kempen Rezeki Qurban yang dianjurkan oleh Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) tahun ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Siti Fadilah Mohd Hood, kempen tahunan Zahirkan Kesyukuran bertujuan membolehkan umat Islam di Malaysia melaksanakan ibadah korban bagi membantu golongan memerlukan di dalam dan luar negara.
Beliau berkata, selain di Malaysia, agihan daging korban diagihkan kepada negara yang terjejas dengan krisis seperti Mali, Malawi, Somalia, Yaman, Syria dan Palestin.
“Antara golongan yang akan menerima manfaat sumbangan daging termasuk ibu tunggal, warga emas, anak yatim, orang kurang upaya (OKU), pelarian, keluarga terjejas bencana dan keluarga dengan bilangan ramai isi rumah.
“Melalui kempen ini, kami mengajak rakyat Malaysia bukan sahaja untuk berkorban, juga berkongsi rezeki dan kasih sayang bersama mereka yang kekurangan terutama buat mereka di kawasan bergolak seperti di Gaza,” katanya menerusi kenyataan.
Siti Fadilah berkata, penyertaan rakyat Malaysia dalam ibadah korban membantu IR Malaysia menyantuni jutaan rakyat di seluruh dunia dan komited meneruskan usaha itu agar lebih ramai keluarga dapat menikmati juadah daging yang dirasai setahun sekali.
Tambahnya, setiap pek agihan daging korban mengandungi dua hingga empat kilogram daging dan dijangka cukup bagi keluarga penerima untuk tempoh satu minggu.
Sementara itu, penerima sumbangan dari kem di Somalia, Nimco Mohamed Abdiz menzahirkan rasa syukur apabila terpilih menerima sumbangan pek daging pada tahun lalu.
Nimco berkata, suaminya telah meninggal dunia dan kini menetap di kem Abdi Edan, Somalia bersama tiga anaknya manakala empat anaknya yang lain tinggal bersama saudara di bandar.
“Sejak haiwan ternakan kami mati akibat kemarau, kami sudah lama tidak makan daging. Tak sangka, pada Hari Raya Aidiladha, Islamic Relief datang membawa kegembiraan dan senyuman kepada kami dengan memberikan kami daging korban.
“Terima kasih Islamic Relief kerana dengan sumbangan daging ini, kami berpeluang meraikan Aidiladha dengan memasak hidangan kegemaran kami,” katanya.
Katanya, sumbangan tersebut merupakan sesuatu yang sangat bernilai baginya dan kebimbangan terhadap anak-anaknya tidak mendapat nutrisi yang cukup hilang seketika. – UTUSAN