Institusi bukan bawah KPM digalak pakai lencana Jalur Gemilang

Institusi bukan bawah KPM digalak pakai lencana Jalur Gemilang

FADHLINA Sidek (tiga dari kanan) bergambar bersama pelajar-pelajar ekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi, di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Institusi bukan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) digalakkan untuk menyemarakkan semangat patriotisme mereka menerusi pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam masing-masing.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu bertujuan memastikan bahawa inisiatif berkenaan didokong oleh semua pihak.

“Pemakaian Jalur Gemilang ini (khususnya di sekolah) kita luncurkan di seluruh negara secara serentak dan ia melibatkan beberapa Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Menteri-Menteri Besar yang sama-sama memberikan komitmen untuk memakaikan Jalur Gemilang pada pakaian seragam anak-anak.

“Satu perkara penting yang kita mesti tonjolkan daripada inisiatif ini adalah iltizam kita di peringkat KPM untuk memastikan bahawa aspek yang terkait rapat dengan semangat cintakan negara, perpaduan serta jati diri kebangsaan ini dibugar di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan di peringkat semua institusi pendidikan di bawah KPM,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Pada Pakaian Seragam Murid di bawah Institusi Pendidikan KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi, di sini, hari ini.

Seramai 5.3 juta pelajar dibekalkan dengan dua unit lencana Jalur Gemilang yang mula dipakai secara rasmi hari ini. 

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihaknya yakin negara dapat terus melahirkan generasi madani yang lebih kuat jati dirinya sekaligus akan terus memastikan martabat negara khususnya menerusi Jalur Gemilang diberikan penghormatan sewajarnya.

“Insya-Allah, kita yakin dengan pemberian Jalur Gemilang secara percuma kepada semua pelajar ini akan dapat mempertingkatkan semangat patriotisme mereka. 

“Mereka akan dibantu oleh guru-guru kita yang sentiasa akan memperingatkan mereka tentang tatacara, tatakelola serta pemakaian serta penghormatan yang mesti mereka berikan apabila memakai Jalur Gemilang ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN