Imigresen gempur Medan Imbi, 506 warga asing ditahan

Imigresen gempur Medan Imbi, 506 warga asing ditahan

Keadaan salah sebuah bilik kecil yang disewa warga asing di Medan Imbi, Kuala Lumpur. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 506 warga asing ditahan Jabatan Imi­gresen dalam serbuan di Medan Imbi di sini, kelmarin.

Serbuan bermula pu­kul 7.30 petang itu dijalankan dengan kerja­sama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Utusan Malaysia yang mengikuti operasi ber­kenaan mendapati, se­tiap blok yang usang dan kotor itu menempatkan unit kediaman yang di­sewa warga asing dengan harga sekitar RM600 setiap bilik.

Ketika serbuan, terdapat beberapa cubaan warga asing melarikan diri termasuk bersembunyi atas bumbung dan menyamar sebagai pelanggan kedai, malah ada antara mereka cedera ketika melarikan diri.

Difahamkan, ada an­tara warga asing yang dicekup cuba menyogok anggota penguat kuasa, namun perbuatan itu tidak diendahkan.

Bukan itu sahaja, serbuan di salah sebuah premis kedai yang disyaki berselindung dengan menggunakan nama kafe mengesan aktiviti perjudian dalam talian.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 895 individu diperiksa terdiri daripada 749 warga asing dan 146 warga tempatan.

Katanya, seramai 506 individu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959 dan dibawa ke Depoh Tahanan Bukit Jalil untuk siasatan lanjut bagi pengesahan dokumen pengenalan diri.

“Tangkapan terdiri daripada pelbagai negara, dengan jumlah pa­ling ramai dikesan dari Bangladesh (165), diikuti Nepal (142) dan Indonesia (109). Beberapa tangkapan turut membabitkan warga India dan Sri Lanka.

“Kita percaya mereka bekerja di tempat lain dan menyewa bilik di sini,” katanya ketika ditemui.

Zakaria berkata, antara ke­salahan dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan penyalahgunaan pas lawatan kerja.

“Ada yang memiliki pas lawatan kerja dikeluarkan di Johor, tetapi berada di ibu negara tanpa justifikasi munasabah. Malah ada yang menetap di sini selepas pas mereka tamat tempoh.

“Kita juga kesan warga asing yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) yang tidak diiktiraf di negara ini. Mereka semua akan disiasat secara menyeluruh bagi menentukan status sebenar,” katanya.

Tambah Zakaria, pihaknya mendapati, mereka tinggal dalam keadaan yang daif dan sesak dalam kalangan warga asing di kawasan itu.

“Pemeriksaan mendapati lima hingga enam orang tinggal dalam satu bilik kecil dan sebuah unit rumah diubah suai menjadi ruang sewaan sempit dengan penyewa mencecah 30 orang.

“Operasi malam tadi tertumpu kepada enam blok rumah kedai empat tingkat yang dijadikan tempat tinggal warga asing dan difahamkan ada yang menyewa dengan kadar RM600 sebulan untuk sebuah bilik kecil yang dikongsi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN