KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan bekas penolong jurulatih boling berhubung sabitan atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap atlet Sukan Malaysia (Sukma), tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan mengekalkan hukuman penjara enam tahun selepas menolak rayuan, Mat Salleh Jalani, 62. Hukuman terhadap tertuduh berkuat kuasa hari ini.
Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 16 Mei tahun lalu menjatuhkan hukuman berkenaan namun tertuduh nembuat rayuan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki yang ketika kejadian berusia 14 tahun satu bulan. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik di sebuah rumah di Marang pada Mac 2018.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. – UTUSAN