KUALA TERENGGANU : Sebanyak 224 ekor ternakan lembu dan kerbau divaksinkan bagi mengelak penularan wabak hawar berdarah atau Haemorrhagic Septicaemia (HS) di daerah ini.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr. Anun Man berkata, langkah kawalan dilaksanakan serta-merta sebaik sahaja wabak itu disahkan berlaku pada Khamis lalu.
Katanya, dalam tempoh dua hari sahaja, JPV sudah melaksanakan proses vaksin untuk 25 peratus ternakan daripada keseluruhan ladang yang terletak dalam kawasan lima kilometer (km) radius dari lokasi wabak.
“Kita ambil serius langkah kawalan menerusi proses vaksinasi kerana bimbang wabak ini menjejaskan bekalan lembu untuk ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
“Ini kerana segala proses kemasukan dan pemindahan keluar ternakan untuk tujuan korban atau sembelih memerlukan permit untuk pengesahan kesihatan,” katanya ketika meninjau proses vaksinasi lembu dan kerbau di Kampung Manir, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan 25 kerbau di Manir mati berperingkat sejak 7 April lalu yang kemudiannya disahkan sebagai wabak hawar berdarah.
Kali terakhir wabak itu berlaku dalam skala yang besar ialah pada tahun 2020 melibatkan lebih 35 ternakan kerbau milik keluarga ‘Mowgli Malaysia’, Muhammad Syukur Khamis dekat Serada. – UTUSAN