Hargai bekalan air sebagai nadi kehidupan

Hargai air sebagai nadi kehidupan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak tamadun awal, manusia telah belajar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan corak cuaca. Bermulalah pembinaan empangan, takungan tasik buatan manusia dan sistem pengairan sistematik yang berkembang menjadi kaedah inovatif untuk menangani masalah kekurangan bekalan air.

Dalam era pembangunan pesat kini, air memainkan peranan penting dalam kehidupan untuk tujuan kegunaan sendiri, proses-proses pembuatan, pertanian dan juga untuk mengekalkan keseimbangan alam sekitar.

Pelajar perlu tahu bahawa Malaysia adalah negara yang bertuah kerana iklim kita lebih bersifat sederhana. Iklim Khatulistiwa memberikan kita situasi panas dan hujan sepanjang tahun melalui dua monsun utama. Hutan kita pula adalah hutan hujan Tropika atau juga dikenali sebagai hutan kanopi. Banjaran-banjaran di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak memainkan peranan penting dalam pembentukan sungai-sungai, tasik-tasik, kawasan paya dan sebagainya untuk membantu kita mendapatkan sumber air dengan senang.

Apakah cabaran yang kita sedang hadapi kini? Peningkatan drastik dalam kepadatan penduduk kawasan bandar dan pinggir bandar menjadikannya lebih sukar untuk memenuhi permintaan air.

Terdapat juga situasi apabila pencemaran air telah menyebabkan gangguan bekalan air secara besar-besaran.

Tahukah pelajar semua bahawa air mentah diekstrak daripada sungai perlu dirawat sebagai air terawat sebelum dibekalkan kepada kita?

Pada masa yang sama, selepas kita menggunakan air ini melalui pelbagai aktiviti seperti memasak, mencuci pakaian, proses-proses kilang-kilang dan sebagainya kita akan melepaskan air sisa kepada alam semula jadi. Semua air sisa ini mesti dirawat untuk mencapai tahap yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar dan akhirnya dilepaskan ke sungai.

Penggunaan air secara berhemah serta membantu pihak berkuasa dengan melaporkan kejadian pencemaran adalah langkah-langkah ringkas yang boleh anda lakukan untuk membantu menjamin bekalan air bersih untuk kita dan generasi akan datang.

Pada masa akan datang, potensi untuk memajukan lagi teknologi perlindungan alam sekitar dan sumber air di samping melakukan anjakan paradigma dalam proses-proses industri untuk mencapai ‘sifar sisa’ memang sedang diusahakan.

Maka dengan itu kepada semua pelajar, marilah kita sama-sama berganding bahu untuk lebih berhemah dalam penggunaan air, mengelakkan pencemaran serta mengusahakan aktiviti-aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar secara berterusan kerana air adalah kehidupan. – UTUSAN

 

Piarapakaran S. ialah Presiden, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) & Ketua Pegawai Eksekutif, Centre for Water and Energy Sustainability (CWES)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN