SERDANG: Harga santan yang pada ketika ini mencecah sehingga RM22 sekilogram dijangka akan turun dan kembali stabil pada bulan hadapan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya sudah mengambil langkah mengimport bekalan kelapa daripada Indonesia dan beberapa buah negara lain.
Jelasnya, kenaikan harga santan yang berlaku pada ketika ini berpunca daripada peningkatan keperluan ekoran musim perayaan.
“Santan memang harganya masih tinggi kerana perayaan sekarang ini masih berjalan, ‘open house’ masih berjalan, contohnya seperti (majlis Aidilfitri) hari ini. Mungkin ada beratus tempat lagi di seluruh Malaysia.
“Bagaimanapun, kita yakin bulan depan barangkali (santan) akan stabil. Kita juga mengambil langkah mengimport tambahan lagi (bekalan kelapa) daripada Indonesia dan beberapa (kawasan) lain, Insya-Allah bulan depan stabil,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KPKM di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, bekalan daging lembu turut mencukupi sehingga musim perayaan Aidiladha yang dijangka pada 7 Jun ini.
Katanya, ketika ini harga lembu turut agak rendah di beberapa negeri ketika ini termasuk di Pantai Timur.
“Kita harap harga tersebut tidak naik mendadak untuk musim perayaan nanti (Aidiladha),”ujarnya. – UTUSAN.










