PETALING JAYA: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menjangkakan harga minyak sawit (MSM) kekal stabil pada paras RM3,900 dalam minggu-minggu akan datang, disokong oleh pemulihan harga minyak kacang soya, yang meningkatkan daya saing harga minyak sawit.
MPOC berkata, minyak sawit kini kembali berdaya saing dari segi harga berbanding minyak sayuran cecair (soft oils) lain, selepas sebelum ini diniagakan pada harga premium di pasaran global sejak Ogos 2024.
“Pada harga RM3,900 setiap tan, minyak sawit kini dianggap berpatutan.
“Justeru, China dijangka akan meningkatkan import minyak sawit pada Mei dan Jun untuk menambah stok, bertepatan dengan musim panas yang lazimnya mencatatkan penggunaan minyak sawit yang lebih tinggi.
“Begitu juga, India dijangka mengambil kesempatan daripada harga minyak sawit yang rendah ketika ini untuk menambah semula stok mereka yang berkurangan, selaras dengan jurang harga yang semakin kecil antara minyak sawit dan minyak kacang soya di pasaran domestik.
“Harga minyak kacang soya di bursa Chicago Board of Trade (CBOT) pula kekal melebihi 42 sen per paun (bersamaan AS$920 setiap tan), walaupun sentimen pasaran di Amerika Syarikat (AS) agak lemah,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kekurangan bahan mentah dijangka akan diisi oleh peningkatan permintaan terhadap minyak kacang soya dan lemak haiwan selepas pemansuhan insentif cukai untuk minyak kanola dan minyak masak terpakai import dalam rantaian bekalan biodiesel AS.
“Ini menunjukkan harga global minyak kacang soya mungkin telah mencapai paras terendah dan berpotensi untuk pulih dengan kukuh apabila dasar biofuel AS menjadi lebih jelas dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.
Bagaimanapun, MPOC berkata, walaupun stok minyak sawit di Malaysia dijangka terus meningkat mulai April, kenaikan ini dijangka sederhana berikutan pertumbuhan pengeluaran tahunan yang lemah, terutamanya di Sabah.
“Pengeluaran minyak sawit di Sabah merosot sebanyak 10 peratus dari Januari hingga Mac 2025, menjadikannya yang terendah dalam tempoh lima tahun.
“Kekurangan pengeluaran ini akan mengehadkan pertambahan stok dan membantu menyokong harga minyak sawit.
“Kejatuhan berterusan dalam pengeluaran minyak sawit di Sabah kekal menjadi kebimbangan dan dijangka mengehadkan sebarang pemulihan pengeluaran yang ketara dalam beberapa bulan akan datang.
“Namun, walaupun terdapat faktor-faktor sokongan ini, lonjakan besar dalam harga minyak sayuran secara keseluruhan tidak dijangka berlaku, memandangkan konflik perdagangan yang semakin meningkat dan harga minyak mentah yang lemah menandakan risiko serta ketidakstabilan harga yang lebih tinggi,” ujarnya.
Mengulas mengenai prestasi MSM pada bulan lalu, katanya, stok minyak sawit tempatan meningkat pada Mac 2025 selepas enam bulan berturut-turut mencatatkan penurunan, naik kepada 1.56 juta tan.
“Peningkatan ini didorong oleh kenaikan 16.8 peratus pengeluaran minyak sawit bulan ke bulan, susulan kelewatan musim menuai pada Februari akibat hujan lebat dan banjir.
“Bagaimanapun, jumlah keseluruhan pengeluaran bagi suku pertama 2025 masih merupakan yang terendah dalam tempoh tiga tahun dan penurunan pengeluaran tahunan dijangka berterusan sehingga September, walaupun terdapat pemulihan pada Mac.
“Oleh itu, jumlah pengeluaran minyak sawit pada 2025 mungkin menyusut kepada sekitar 19 juta tan, lebih rendah daripada 19.3 juta tan yang dicatatkan pada 2024,” katanya.-UTUSAN