PUTRAJAYA: Harga kawalan maksimum bagi benih padi sah (BPS) diselaraskan di bawah Insentif Benih Padi Sah bagi peringkat borong dan runcit di Semenanjung Malaysia berkuat kuasa esok.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan, harga di peringkat borong diturunkan daripada RM54 kepada RM52 per kampit 20 kilogtam (kg), manakala di peringkat runcit daripada RM58 kepada RM56.
Katanya, dengan pelarasan harga itu, semua pemborong dan peruncit BPS diarah untuk menyelaras harga BPS di peringkat jualan masing-masing.
“Mana-mana pihak yang didapati memanipulasi bekalan dan harga BPS seperti enggan menjual, menyorok bekalan dan mengenakan syarat pembelian atau menjual melebihi harga kawalan maksimum yang ditetapkan, boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen.
“(Tindakan itu dibuat) di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPKM berkata, penyelarasan harga kawalan maksimum bagi BPS dilaksanakan melalui sesi libat urus yang diadakan kementerian bersama pesawah dan pengeluar setelah mengambil kira pelbagai faktor.
Katanya, ia antaranya kos pengeluaran BPS dan penyelarasan harga lantai belian padi.
“Keputusan ini adalah sebahagian daripada usaha KPKM untuk menjaga kebajikan pesawah agar mereka mendapat benih padi berkualiti tinggi pada harga berpatutan,” katanya.
KPKM berkata, penyelarasan harga itu juga memastikan ketersediaan bekalan BPS yang berterusan di pasaran untuk keseimbangan ekosistem industri padi dan beras negara. – UTUSAN