Harga benih padi tidak membebankan 

Harga benih padi tidak membebankan 

MOHAMAD Sabu (kiri) menyantuni anak yatim pada Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Perak di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tapah, Perak, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meminta pesawah menerima penurunan harga benih padi sah (BPS) sebanyak RM2 sehingga semakan dibuat terhadap kadar baharu tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, semakan harga benih padi itu akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia berada pada paras yang tidak membebankan pesawah.

Katanya, beliau mengambil maklum keluhan pesawah dan langkah sewajarnya akan diambil dalam menangani kebimbangan golongan itu terhadap harga benih padi.

“Buat masa ini (harga BPS) diturunkan sebanyak RM2, namun harga itu akan dilihat dari semasa ke semasa. Buat masa sekarang, saya harap para petani terima dulu penurunan sebanyak RM2 ini.

“Di pihak kementerian, kami sentiasa peka terhadap apa-apa tuntutan yang dianggap munasabah oleh para petani,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Perak di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tapah di sini semalam.

Sebelum ini, media melaporkan, keputusan KPKM menurunkan harga BPS sebanyak RM2 disifatkan mengecewakan golongan pesawah kerana didakwa tidak memberi kesan signifikan kepada mereka.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob, penurunan harga itu terlalu kecil berbanding peningkatan mendadak yang berlaku sebelum ini.

Sementara itu, mengulas mengenai harga santan yang belum menunjukkan penurunan, Mohamad berkata, harga bahan mentah tersebut dalam pasaran dijangka stabil tidak lama lagi.

“Harga santan secara umumnya ada sedikit penurunan menjelang hari raya tetapi tidak turun seperti yang diharapkan. Jadi, langkah awal yang diambil adalah dengan membawa kelapa dari Sabah ke dalam pasaran.

“Sekarang pun sudah lebih sejuta biji kelapa dibawa dan akan ditambah dari semasa ke semasa. Harga santan ini akan kembali normal cuma musim perayaan di Malaysia (disambut) sebulan, jadi selepas bulan ini akan kembali normal,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN