Hampir sejuta serbu Perlis dalam dua bulan

Hampir sejuta serbu Perlis dalam dua bulan

PERLIS terus menjadi tumpuan apabila dalam tempoh dua bulan tahun ini iaitu pada Januari dan Februari lalu telah merekodkan hampir satu juta pengunjung ke negeri ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis terus menjadi tumpuan apabila dalam tempoh Januari dan Februari lalu hampir satu juta pengunjung direkodkan ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, berdasarkan statistik semasa, pengunjung keluar masuk ke negeri ini direkodkan sebanyak 441,886 pada Januari dan 404,375 pada Februari.

Katanya, daripada keseluruhan jumlah pengunjung bagi kedua-dua bulan tersebut, hampir 23 peratus merupakan pengunjung dari Thailand manakala dua peratus membabitkan pelancong daripada pelbagai negara

“Antara faktor yang mempengaruhi jumlah kedatangan pengunjung pada bulan Januari dan Februari itu ialah penganjuran acara-acara pelancongan yang telah disenaraikan dalam kalendar acara pelancongan negeri seperti Konvensyen Sunnah Peringkat Antarabangsa Perlis 2025, Fiesta Layang-layang Antarabangsa Perlis 2025 dan pelbagai lagi,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Abu Bakar menjawab pertanyaan dibangkitkan Wan Zikri Afhtar Ishak (PN-Tambun Tulang) mengenai jumlah kehadiran pelancong pada musim cuti sekolah Februari lalu.

Semalam dalam titah perasmian sidang DUN, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail melihat banyak perubahan dan kemajuan dapat dilihat kebelakangan ini di Perlis khususnya dalam aspek pelancongan.

Titah baginda, Perlis menjadi tumpuan pelancong khususnya bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 dan berdasarkan statistik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah merekodkan kemasukan 2.99 juta pelancong dari dalam dan luar negara pada tahun lalu.

Baginda bertitah, jumlah kemasukan pengunjung yang ramai itu adalah cerminan kepada kemajuan produk dan industri pelancongan Perlis yang mencapai tahap membanggakan. 

Abu Bakar berkata, pelbagai inisiatif promosi berkaitan pelancongan juga terus giat dijalankan oleh kerajaan negeri melalui Perlis Tourism Board yang telah menyertai pelbagai program bagi mempromosikan Tahun Melawat Perlis (TMPS) 2024/2025.

“Aktiviti pengiklanan berimpak tinggi turut dijalankan melalui video promosi pendek TMPs 2024/2025 di enam lapangan terbang antarabangsa utama seluruh negara iaitu dari Februari hingga Julai 2025.

“Kerajaan negeri juga sedang berusaha untuk menarik bukan sahaja pelancong dari dalam negeri malah pelancong-pelancong luar negara.

“Kita juga sedang mencari jalan untuk memperkenalkan Perlis sebagai destinasi yang wajib dilawati atau pun dikunjungi sempena Tahun Melawat Perlis dan tema untuk Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya