Guru maut kereta terbabas ketika beraksi di Litar Melaka

Guru maut kereta terbabas ketika beraksi di Litar Melaka

LITAR Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC), Durian Tunggal, lokasi ketika mangsa menyertai Kejohanan Sucimuci Time Attack semalam.-UTUSAN/AMRAN ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hasrat seorang guru untuk mencatat masa terpantas dalam kejohanan perlumbaan berakhir tragedi apabila kereta dipandunya terbabas di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC), Durian Tunggal, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa berusia 48 tahun dari Taman Pulai Perdana, Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia selepas lima jam menerima rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa menyertai Kejohanan Sucimuci Time Attack.

“Ketika melalui satu selekoh tajam di litar, kereta dipandu mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

“Mangsa yang bekerja sebagai guru sekolah kebangsaan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia pada pukul 10 malam ketika dirawat di hospital,” katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya masih meneruskan siasatan termasuk mengesahkan punca kemalangan sama ada berpunca daripada kegagalan mangsa mengawal kenderaan atau kelemahan prosedur operasi standard (SOP) pihak penganjur.

“Kami masih meneruskan siasatan untuk mengesahkan sama ada nahas ini berpunca daripada kegagalan mangsa mengawal kenderaan atau kelemahan SOP daripada pihak penganjur,” katanya.

Beliau berkata, kejadian kemalangan maut di litar itu bukan kali pertama berlaku.

“Nahas maut di litar ini bukan pertama kali berlaku oleh itu kami meminta untuk kedua-dua pihak peserta dan penganjur mengambil langkah berjaga-jaga dalam setiap penganjuran perlumbaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN