Guna ban konkrit atasi banjir di Kelantan – Pakar

Guna ban konkrit atasi banjir di Kelantan – Pakar

Pakar mencadangkan ban konkrit perlu diperluaskan di kawasan berisiko banjir di Kelantan bagi menjamin keselamatan jangka panjang dan mengurangkan kerosakan berulang setiap kali musim tengkujuh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan ban konkrit perlu diperluaskan di kawasan berisiko banjir di Kelantan bagi menjamin keselamatan jangka panjang dan mengurangkan kerosakan berulang setiap kali musim tengkujuh.

Pakar Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Dr. Mustaffa Anjang Ahmad berkata, penggunaan ban tanah yang menjadi amalan biasa pada masa ini dilihat tidak lagi sesuai terutama di kawasan yang berulang kali dilanda banjir besar.

Katanya, walaupun ban ta­nah lebih murah dari segi kos awal dan cepat dibina tetapi ia tidak mampu bertahan lama kerana mudah terhakis, mendap serta tidak tahan tekanan air deras terutama ketika banjir luar biasa.

“Jika kita mahu melihat penyelesaian jangka panjang, ban konkrit adalah pilihan yang lebih selamat walaupun kosnya tinggi.

“Ia kukuh, tahan lama dan boleh mengelakkan kerosakan struktur ketika bencana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menye­gerakan projek tebatan banjir di Kelantan bagi menyelesaikan masalah banjir yang saban tahun melanda negeri itu.

“Kita tidak sanggup melihat saban tahun Kelantan mengalami banjir tidak ter­kawal dengan kerajaan silih berganti,

“Justeru, saya meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Kementerian Ekonomi melihat beberapa kaedah baharu baru bagi menangani isu berkenaan,” katanya semasa Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Kelantan di Pantai Irama.

Dalam pada itu, Mustafa Anjang berkata, pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri dan Persekutuan wajar mempertimbangkan peruntukan khas bagi membina ban konkrit secara berfasa di kawasan-kawasan berisiko tinggi banjir dan limpahan sungai.

“Walaupun penggunaan ban konkrit melibatkan kos yang besar namun pembangunan infrastruktur mitigasi banjir perlu dilihat sebagai pelaburan masa depan, bukan sekadar perbelanjaan semasa.

“Dengan perubahan iklim yang semakin ketara, kita tidak boleh lagi bergantung kepada kaedah lama,” kata­nya.

Setakat ini, majoriti sistem ban di Kelantan masih menggunakan struktur tanah yang dilapisi rumput atau geo-fabrik sebagai perlindungan asas, namun ia sering gagal menahan limpahan air ketika musim monsun Timur Laut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN