Penglibatan dalam Rakan Muda mampu membentuk sahsiah dan disiplin pelajar sekali gus membantu meluaskan jaringan dengan masyarakat serta memberi pendedahan dalam bidang advokasi yang penting bagi pembangunan diri dan kerjaya masa depan.
Menurut Perwakilan Pelajar Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya Fakulti Undang-Undang, Nur Farehan Dev Muhammad Firdaus Dev, penglibatan secara aktif dalam Rakan Muda dapat memberi pendedahan yang luas, khususnya dalam bidang advokasi.
“Sebagai pelajar undang-undang, saya rasa ia mampu membantu dalam pembentukan disiplin seorang pelajar apabila mengenakan suatu pembelaan.
“Inisiatif Rakan Muda ini sudah ditubuhkan sejak 30 tahun lepas, jadi saya yakin bahawa penglibatan pelajar secara aktif dalam program ini mampu memberi peluang pekerjaan yang luas kerana mereka akan berhubung dengan ramai orang,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar.
Dalam pada itu, Farehan berkata, penyertaan mahasiswa dalam Rakan Muda juga memberi ruang untuk pelajar bergiat aktif bersama Kementerian Belia dan Sukan dalam pelaksanaan pelbagai program pembangunan belia.
“Dalam Rakan Muda, ada banyak program yang boleh kita sertai. Kita juga ada pelbagai platform seperti 10 Gaya Hidup yang membolehkan pelajar memilih mengikut minat masing-masing,” ujarnya.
Farehan turut menyatakan harapannya agar lebih ramai mahasiswa, khususnya di Universiti Malaya, menjadikan Rakan Muda sebagai platform permulaan untuk memahami dan mengambil bahagian dalam proses pembentukan dasar negara.
“Saya berharap pelajar sertai pertubuhan ini dan hadam apa itu advokasi serta memulakan perubahan.
“Ini adalah permulaan untuk lebih banyak perbincangan, lebih banyak tindakan dan lebih banyak pelajar sedar bahawa memahami dasar bukan sahaja untuk politik dan pemerintah, tetapi untuk kita semua sebagai pelajar undang-undang,” tambahnya.
Program Rakan Muda Turun Kampus bagi kali kedua tahun ini diadakan di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM), hasil inisiatif Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), KBS.
Program tersebut memberi peluang kepada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) menyuarakan pandangan dan aspirasi mereka secara langsung kepada pihak kementerian, di samping merapatkan hubungan antara mahasiswa dan kepimpinan KBS.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut menyampaikan sesi bertajuk Di Sebalik Kabinet: Prosedur dalam Pembuatan Dasar, berbeza daripada pengisian program yang dibawakan ketika di UTAR sebelum ini. – UTUSAN