KUALA LUMPUR: Golongan muda digalakkan menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi mengisi keperluan anggota dalam mengendalikan aset-aset berteknologi tinggi seiring perkembangan ketenteraan moden.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain berkata, pengambilan anggota baharu kini memberi keutamaan kepada generasi muda yang berpengetahuan dalam bidang sains dan teknologi.
Katanya, penyertaan anak muda penting bagi memastikan kesiapsiagaan TLDM terus terjamin dalam operasi-operasi melibatkan sistem peperangan moden.
“Sekarang kita sudah masuk ke zaman sains dan teknologi. Jadi, kita perlukan anggota yang berpengetahuan tinggi dalam bidang ini untuk sama-sama mengendalikan Tentera Laut Malaysia.
“Untuk memastikan aset ini dapat dikendalikan secara optimum, kita perlukan anggota-anggota muda yang mampu menguasai peralatan canggih,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Markas Tentera Laut di KD Sri Gombak, hari ini.
Terdahulu, Majlis sambutan Aidilfitri hari ini turut meraikan warga Markas Tentera Laut, jemputan dari Kementerian Pertahanan, bekas Panglima Tentera Laut serta veteran sebagai menghargai komuniti TLDM.
Zulhelmy berkata, peluang menyertai TLDM bukan sekadar satu kerjaya malah menjanjikan pengalaman hidup mencabar yang penuh pengembaraan.
“Dalam TLDM, seseorang itu boleh jadi apa sahaja, sama ada tukang masak, pengendali peralatan teknologi tinggi, penulis atau kendali senjata canggih, semuanya ada dalam perkhidmatan ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sempena sambutan Hari TLDM pada 27 April ini, pelbagai program termasuk Hari Terbuka Armada di Pangkalan TLDM Lumut akan dianjurkan bagi mendekatkan masyarakat dengan dunia ketenteraan laut. – UTUSAN