KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Erissa Puteri Hashim, 22, selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Danial Iskandar Zaidi tepat 11 pagi tadi.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Dr Adam Drahman dengan berwakil walikan bapa Erissa, Hashim Daud.
Erissa yang juga bintang Ceria Popstar menerima mas kahwin sebanyak 70 gram emas, rantai emas serta rantai berlian sebagai simbol penerimaan dan penyatuan dalam keluarga baharu.
Kedua-dua mereka tampil kacak dan manis apabila mengenakan baju Melayu dan baju kurung berwarna putih mengikut tema mereka.
“Perasaan saya sangat lega. Tapi dalam masa sama perasaan juga amat berat nak tinggalkan keluarga kerana saya sangat rapat dengan mereka sebagai anak bongsu.
“Jadi, tiba-tiba lepas saja sah macam-macam perasaan datang. Dapat keluarga baru tapi dalam masa yang sama bukan tinggalkan keluarga cuma berjauhan.
“Dia macam sebak tapi lega. Sangat berdebar duduk atas pelamin tadi sebab kita tak tahu apa akan berlaku. Alhamdulillah, semuanya dah selamat,” katanya.
Majlis pernikahan itu dihadiri 200 tetamu terdiri daripada keluarga terdekat serta teman rapat di sebuah hotel terkemuka di sini.
Erissa juga meminta orang ramai dan peminat mendoakan agar rumah tangganya bersama suami dilindungi dan sentiasa sejahtera.
Majlis resepsi akan berlangsung di tempat yang sama pada 25 April ini.-UTUSAN