Enam penghantar makanan terima penghargaan polis

Enam penghantar makanan terima penghargaan polis

ENAM penghantar makanan menerima surat penghargaan disampaikan Dzulkhairi Mukhtar selepas membantu pihak berkuasa memberkas seorang lelaki yang menyamar sebagai rider untuk melakukan jenayah ragut. - UTUSAN/ARIF HAMIZAN MISKON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Enam penghantar makanan (rider) menerima surat penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas membantu pihak berkuasa memberkas seorang lelaki yang menyamar sebagai rider untuk melakukan jenayah ragut pada 23 April lalu.

Majlis penyampaian disempurnakan oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar sebagai tanda penghargaan atas tindakan pantas mereka membantu pihak berkuasa.

Keenam-enam mereka terlibat dalam insiden kejar-mengejar dan pergelutan dengan suspek di Plaza Pandan Malim sehingga tertangkapnya penjenayah terlibat.

Wakil penerima, Mohammad Haikal Mohd. Yassin, 22, berkata, pengalaman itu membangkitkan semangat mereka untuk terus menjadi mata dan telinga, membantu pihak berkuasa dalam menjaga keharmonian masyarakat.

“Kami bukan hanya hantar makanan, kami juga hendak jaga keselamatan komuniti. Kalau ada apa-apa maklumat jenayah, kami tidak akan teragak-agak bantu polis. Ini tanggungjawab sosial kami.

“Kami bertindak bukan kerana mengharapkan penghargaan, sebaliknya demi menjaga nama baik penghantar makanan yang sering dipandang serong akibat perbuatan individu tidak bertanggungjawab,” katanya. 

Seorang lagi rider, Abdul Aziz Ibrahim, 55, berkata, dia dan beberapa lagi rakan penghantar menubuhkan kumpulan aplikasi WhatsApp khas untuk membantu polis mengesan suspek.

“Saya dihubungi Unit D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Isnin lalu untuk bantu operasi ini. Kami terus sebarkan maklumat lokasi suspek supaya semua rider dapat berjaga-jaga.

“Ini kerjasama rider dan polis. Selepas lima tahun kerja sebagai penghantar makanan, saya amat terharu dapat penghargaan daripada Ketua Polis dan syarikat,” katanya.

Tambah Abdul Aziz, insiden itu membuktikan komuniti penghantar makanan bukan sekadar menghantar pesanan pelanggan, tetapi mampu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa demi keselamatan orang ramai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya