SERDANG: Seramai 4,000 peserta dijangka menyertai Program Kerohanian Bina Insan Madani 2025 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) yang akan berlangsung di dua kampus UPM iaitu di Serdang di sini dan Bintulu, Sarawak pada 12 April ini.
Tujuan program adalah memupuk nilai-nilai murni serta melahirkan insan Madani yang berakhlak dan cemerlang.
Program bakal dimulakan dengan Qiamullail Mega pada pukul 4 pagi dan seterusnya disusuli solat Subuh dan tazkirah.
Selain itu, forum bertajuk Keperibadian Madani Penyatu Ummah turut akan disampaikan oleh Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah bersama Ahli Sekretariat Duat Al-Falah Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim), Abdul Hadi Bakri Abdullah.
Majlis perasmian penutup pula dijangka disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Orang awam digalakkan hadir bagi memeriahkan program yang meliputi pelajar, staf UPM serta komuniti berhampiran.
Para peserta berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pakar keilmuan Islam untuk menjawab segala kemusykilan agama.
Sementara itu, program itu juga bertujuan mendedahkan peserta kepada platform bersemuka dengan pakar agama berbanding kecenderungan masyarakat yang banyak bergantung pencarian ilmu agama melalui internet. – UTUSAN