MELAKA: Sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan semula kadar elaun bagi penyelia dan petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang disifatkan terlalu rendah berbanding beban tugas digalas.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, petugas PPDK yang berkhidmat membantu kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berdepan beban kerja tinggi, namun hanya menerima elaun yang rendah.
“Penyelia hanya menerima sekitar RM1,500 manakala petugas di bawah RM1,200 sebulan, sebelum dipotong caruman Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).
“Bayaran ini tidak setimpal dengan tugas mereka kerana mereka bekerja lima hari seminggu, menjaga kira-kira 20 kanak-kanak sehari, berdepan isu emosi, kesabaran dan pelbagai cabaran,” katanya ketika ditemui pada jamuan Hari Raya Aidilfitri PPDK Telok Emas di sini.
Poay Tiong berkata, walaupun mereka bukan kakitangan tetap kerajaan, elaun yang diterima sepatutnya mencerminkan sumbangan besar terhadap komuniti.
Tegasnya, kerajaan sepatutnya peka terhadap kebajikan para petugas yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan golongan OKU di peringkat akar umbi.
“Saya akan bangkitkan isu ini di Parlimen kerana sekarang pun gaji minimum sudah RM1,700 dan mereka layak terima lebih,” jelasnya.
Beliau menyalurkan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk menaik taraf kemudahan dan menyokong pelaksanaan aktiviti di PPDK berkenaan.
PPDK yang beroperasi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berfungsi memberi latihan kendiri dan sosial kepada kanak-kanak OKU secara komuniti. – UTUSAN