KOTA BHARU: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) membawa masuk pelaburan berjumlah RM1.21 bilion ke Kelantan bagi tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, jumlah itu melepasi pelaburan tahunan sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dan sokongan daripada kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC.
Katanya,, ia sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
“Antara penyumbang utama kepada pencapaian ini ialah projek Loji Janakuasa Hidro Mini 84 MW di Kuala Krai yang telah memulakan kerja tanah. Selain itu ia turut dipacu pembangunan Pusat 3S Automotif (pusat jualan, servis dan alat ganti) di Taman Halal Pasir Mas yang dijangka memulakan operasi pada suku keempat 2025.
“Kedua-dua projek berimpak tinggi ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan yang berkualiti selaras dengan agenda pembangunan inklusif ECERDC,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Kelantan pertama bagi 2025.
Ujarnya, tambahan pelaburan komited sebanyak RM290 juta dijangka mewujudkan lebih daripada 650 peluang pekerjaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat berkata, pembinaan Jambatan Palekbang–Kota Bharu telah bermula pada April lalu melibatkan kerja-kerja komponen utama iaitu struktur ‘cable-stayed’ yang merentasi Sungai Kelantan. – UTUSAN