DUN Kedah: ‘Formula’ RM41 juta insentif khas sawah padi untuk Kedah terlalu kecil - Sanusi

DUN Kedah: ‘Formula’ RM41 juta insentif khas sawah padi untuk Kedah terlalu kecil – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri menyifatkan kiraan berjumlah RM41 juta setahun sebagai insentif khas mengekalkan kawasan sawah padi di Kedah tidak mencukupi jika mengambil kira pengorbanan dilakukan negeri jelapang padi itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya tidak pernah mengalah untuk menuntut bayaran RM200 juta setahun kerana jumlah itu munasabah dan tidak keterlaluan untuk dipenuhi.

Katanya, kiraan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PlanMalaysia) melalui Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN) itu hanya berdasarkan 0.1 peratus daripada setiap hektar tanah.

“Permohonan RM200 juta oleh kerajaan negeri masih dalam pertimbangan Pusat. Beberapa libat urus diadakan termasuk Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) terakhir yang mana PlanMalaysia membentangkan sistem dinamakan KAGUMN.

“PlanMalaysia mencadangkan bagi keseluruhan kawasan jelapang dan luar jelapang di sini, Kedah patut diberi insentif khas sebanyak RM41 juta. Namun, kerajaan negeri melihat nilai dicadangkan masih terlalu jauh berbanding kehilangan yang kita korbankan untuk tanam padi dan kekal kawasan hutan untuk air.

“Jika mengikut kaedah atau nilai insentif dalam KAGUMN, mereka ambil 0.1 peratus saja sebagai pemboleh ubah. Jadi bagi setiap hektar tanah yang dinilai RM400,000 hanya melayakkan Kedah dapat RM41 juta,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Muhammad Sanusi (PN-Jeneri) menjawab pertanyaan lisan Hanif Ghazali (PN-Tanjung Dawai) yang ingin tahu perkembangan permohonan sebanyak RM200 juta kepada Kerajaan Persekutuan bagi pengekalan kawasan sawah padi yang turut dititahkan Sultan Kedah sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri mencadangkan agar nilai 0.1 peratus itu ditukar menjadi 0.38 peratus sekiranya Kerajaan Persekutuan mahu mengekalkan kaedah pengiraan sama supaya insentif khas berjumlah sekurang-kurangnya RM157 juta setahun dapat dinikmati Kedah.

“Saya harap Pusat terus mempertimbang permohonan ini kerana kalau kita keluar daripada tanggungjawab sebagai negeri jelapang padi, sudah tentu negara akan mengalami kesukaran.

“Ada orang cakap kita suka minta duit percuma, dia tak tahu kos melepas yang kita tanggung bukan saja-saja Kedah buat permohonan tanpa asas. Ini bukan luar biasa, kita tuntut atas pengorbanan kita tanggung selama ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Hanif tentang pendirian kerajaan negeri sekiranya tuntutan RM200 juta tidak dipenuhi, Muhammad Sanusi percaya kaedah rundingan dengan mengemukakan alasan munasabah masih menjadi asas kepada permohonan itu.

“Saya rasa tak ada orang yang waras menolak alasan yang masuk akal. Saya rasa rakan-rakan Kerajaan Persekutuan faham cuma mungkin kekangan dari sudut fiskal negara yang nak dielakkan kerana mungkin kalau mula bagi (insentif) tak boleh berhenti.

“Tapi saya rasa daripada RM430 bilion bajet tahunan negara tiada masalah untuk beri RM200 juta demi kekalkan kawasan pertanian paling penting untuk makanan negara yang perlu diberi keutamaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya