Duit raya pesawah didakwa belum diagihkan

Duit raya pesawah didakwa belum diagihkan

SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan diminta segera menunaikan janji pemberian bantuan kewangan kepada para pesawah yang didakwa masih belum ditunaikan sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir mendakwa, walaupun Aidilfitri telah memasuki hari keenam, sehingga hari ini tiada satu sen sumbangan ihsan dijanjikan Perdana Menteri diterima oleh pesawah.

Beliau yang juga Koordinator Gerakan Melawan Penindasan Petani (GEMPITA) berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk disumbangkan bagi meringankan beban pesawah padi.

“Bantuan wang ihsan yang dinyatakan telah diumumkan sejak 13 Februari lalu. Sejak pengumuman itu para pesawah masih belum menerima sebarang bantuan wang ihsan seperti dikatakan.

“Sewaktu Perdana Menteri bertandang ke Kedah pada 27 Februari pula, beliau umum sumbangan awal membabitkan RM15 juta yang merupakan sebahagian RM30 juta itu sebagai duit raya, yang sepatutnya telah disalurkan menjelang Aidilfitri.

“Namun, sehingga kini, bantuan tersebut masih belum di­terima oleh pesawah, sehingga menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati dalam kala­ngan mereka,” katanya dalam kenya­taan semalam.

Tambah Mohd. Ashraf, bantuan itu perlu disalurkan tepat pada masanya dan secara telus seperti bantuan-bantuan lain yang dijanjikan demi kelangsungan hidup pesawah.

“Saya berharap agar pihak berwajib dapat menunaikan amanah ini demi menjaga kebajikan pesawah padi yang menjadi tunjang kepada industri pertanian negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pe­nerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFI) atau Lembaga Pertanian Kemajuan Muda (MADA) tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan itu.

Beliau berkata, sekiranya perkara itu benar, maka Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai Barisan Nasional (BN) akan dilihat tidak konsisten dan tidak bercakap benar kepada rakyat.

“Kebimbangan saya adalah kenyataan Mohd. Ashraf bersifat tidak benar atau separa benar dan ia seharusnya dibetulkan serta diberikan penjelasan yang betul oleh pihak MAFI dan MADA.

“Sekiranya tiada penjelasan yang tuntas dan pantas, ia akan menyukarkan kita untuk kembali meyakinkan rakyat pada masa akan datang di mana kita sudah tentu akan dipalit dengan imej sebuah parti yang tidak konsisten,” ujarnya.

Shaiful Hazizy turut bersimpati dengan pesawah yang terhimpit selain tidak dapat menerima andai faktor prosedur dan tatakelola dijadikan alasan kerana birokrasi remeh dan menyusahkan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN