Dua dekad menjulang ilmu: UKM dan UDE kukuh jalinan dua

Dua dekad menjulang ilmu: UKM dan UDE kukuh jalinan dua benua

MAJLIS menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), UKM dan University of Duisburg-Essen (UDE), Jerman pada 8 April 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dinafikan, program akademik yang relevan dapat melahirkan graduan cemerlang yang berupaya menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Program yang berdaya saing serta diterima pihak industri dan pemegang taruh adalah penting bagi memastikan graduan yang dilahirkan mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang menepati kehendak semasa.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sentiasa cakna terhadap pentingnya kemahiran abad ke-21 yang merangkumi keupayaan menyelesaikan masalah, komunikasi antarabangsa dan kemahiran pemikiran kritikal melalui proses pembelajaran moden yang telah dikenal pasti dapat memenuhi keperluan masyarakat dan negara.

Antara inisiatif diambil adalah melalui pengadaptasian model program akademik bersama universiti luar negara bagi memenuhi keperluan pembelajaran hari ini dan secara tidak langsung dapat memenuhi agenda pengantarabangsaan universiti.

Justeru, baru-baru ini, UKM melakar satu lagi sejarah, sejurus termeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang berprestij bersama Universität Duisburg-Essen (UDE) Jerman.

Ia menjadi simbolik suatu fasa baharu dalam kerjasama strategik antara kedua-dua institusi yang telah terjalin selama lebih dua dekad lamanya. Delegasi dari Jerman diketuai oleh Prof. Dr. Karen Shire, Pro-Rector for University Culture, Diversity and International Affairs, University Duisburg-Essen.

Turut hadir, Ms. Ulrike Wolf, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jerman di Malaysia.

Kerjasama Dua Dekad

Kerjasama antara UKM dan UDE sebenarnya telah terjalin sejak tahun 2002 lagi. Hubungan dua hala ini bukan sahaja mengukuhkan jalinan antarabangsa, malah memperkasa pertukaran ilmu dalam bidang Kejuruteraan selain memberi peluang pertukaran budaya rentas benua.

Jalinan kerjasama ini terjalin di antara Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) UKM dan Fakulti Kejuruteraan UDE. Semenjak awal lagi, kolaborasi ini telah memberi manfaat besar kepada para pelajar dari kedua-dua buah negara.

Ibarat laut datang memunggah mutiara, kolaborasi ini membuka laluan pembelajaran pelbagai ilmu berharga termasuk kemahiran bahasa ketiga, selain peluang kerjaya di syarikat antarabangsa.

Kolaborasi UKM-UDE juga memberi tumpuan kepada kerjasama akademik melibatkan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah serta penyelidikan.

Antara program utama yang ditawarkan di bawah kerjasama ini ialah Program Dwi-Ijazah, Program Pertukaran Pelajar, dan Program Penyelidikan. Program ijazah berkembar yang ditawarkan melibatkan tiga program kejuruteraan iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Awam & Struktur, dan Elektrik & Elektronik.

Ia membolehkan pelajar tahun akhir FKAB melengkapkan pengajian kurikulum mereka di Jerman, dengan menggabungkan kekuatan kedua-dua buah institusi. Setakat ini, seramai 222 pelajar sarjana muda telah mengikuti program yang berkonsepkan perkongsian kredit ini, yakni tiga tahun di UKM dan setahun akhir di UDE. Graduan daripada program ini menjadi buruan syarikat tempatan dan luar negara serta ditawarkan gaji yang tinggi.

Program pertukaran pula membolehkan pembelajaran di UKM atau UDE selama enam bulan menggunakan konsep pemindahan kredit, dan sehingga kini, UDE telah menghantar seramai 338 pelajar ke UKM. Melalui pertukaran ini, pelajar bukan sahaja melengkapkan keperluan akademik, malah didedahkan kepada pertukaran budaya bersama masyarakat setempat.

Pejabat Mercator yang diuruskan oleh Mercator Science & Education Sdn Bhd bertindak sebagai pusat kerjasama antarabangsa antara UKM dan UDE. Penubuhan UKM International Office pula ditubuhkan di UDE Jerman sebagai lambang komitmen kukuh kedua-dua universiti terhadap kerjasama global.

Bagi memperkukuh kerjasama ini, UKM bakal menubuhkan UKM-UDE International Classroom yang akan berfungsi sebagai hab aktiviti akademik pelajar, termasuk penyediaan kelas bahasa Jerman dan pelaksanaan program pertukaran di antara kedua-dua institusi.

Semua inisiatif ini mencerminkan hasrat tulus kedua-dua universiti untuk melonjakkan kerjasama ke tahap lebih tinggi, dengan visi bersama untuk masa depan tanpa sempadan ilmu, di mana pelajar dan ahli akademik berkembang melalui pengalaman rentas budaya, antara disiplin dan antarabangsa.

Penulis adalah Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa dan Prof. Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab Rahman. Dekan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya