CUEPACS bantah laksana skim MySTEP kepada pegawai pemantau harga - Utusan Malaysia

CUEPACS bantah laksana skim MySTEP kepada pegawai pemantau harga

ADNAN Mat (tiga dari kanan) beramah mesra bersama penjawat awam yang hadir pada Majlis Sambutan Syawal Ceria Madani di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah pelaksanaan skim MySTEP kepada pegawai pemantau harga di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, seramai 18,000 pegawai tersebut di seluruh negara sepatutnya diberikan status penjawatan tetap atau sekurang-kurangnya  dinaik taraf kepada perkhidmatan kontrak.

Katanya, majoriti pegawai berkenaan berkelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan gaji sekitar RM1,500 sebulan dan Skim MySTEP tidak menjamin peningkatan pendapatan.

Menurut beliau, pegawai berkenaan memainkan peranan penting dalam pemantauan pergerakan harga kira-kira 480 jenis barangan keperluan di seluruh negara.

“CUEPACS menyeru kerajaan menilai semula keputusan pelaksanaan skim MySTEP kepada pegawai pemantau harga dan mengambil langkah proaktif dalam memperjuangkan kebajikan serta kestabilan pekerjaan tersebut,” katanya pada

Majlis Sambutan Syawal Ceria Madani anjuran Cuepacs Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Adnan berkata, pada masa ini, skim MySTEP hanya menawarkan kontrak jangka pendek yang tidak menjamin kestabilan pekerjaan.

“Pegawai pemantau harga di bawah skim MySTEP tidak mendapat faedah seperti cuti rehat, kemudahan perubatan dan tidak menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Pekerja (Perkeso),” ujarnya.

Sementara itu, beliau mengingatkan penjawat awam supaya tidak melakukan komen jelik  dalam media sosial sehingga menjejaskan nama baik jabatan kerajaan.

Katanya, penjawat awan tidak seharusnya menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu isu yang berbangkit.

“Majikan kami adalah kerajaan dan dalam masa sama kerajaan kini sentiasa mendengar keluh kesah penjawat awam dan kerajaan sentiasa membuka ruang kepada mereka untuk menyuarakan ketidakpuasan hati,” katanya.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya