KUALA LUMPUR : Bukan sokongan tetapi hanya kecaman diterima oleh pelakon, Rebecca Nur Islam meskipun dia memuat naik beberapa tangkap layar DM (mesej) daripada beberap individu yang mendakwa kononnya pernah bekerja dengan selebriti dan usahawan, Datin Seri Shahida Mohd Rashid.
Tindakan Rebecca itu menyebabkan ramai warganet tidak berpuas hati kerana menganggap kelakuannya seakan tidak matang berikutan terus menerus mahu ‘menyerang’ Shahida di media sosial.
Menerusi hantaran di Threads, Rebecca dilihat memaparkan beberapa tangkap layar tersebut kononnya bagi ‘mendedahkan’ siapa sebenarnya isteri Datuk Seri Aliff Syukri.
“Ini semua disebabkan mulut dia yang ‘trigger’ menyebabkan saya serta keluarga saya kena kecam seteruk-teruknya.
“Apa pun Alhamdulillah, Allah Maha Kaya. Lebih 1,000 lebih DM saya terima, macam-macam. Saya kongsikan sikit siapakah dia yang sebenarnya.
“Kepada netizen, terima kasih buat semuanya,”katanya.
Antara paparan tangkap layar daripada beberapa individu yang tidak didedahkan oleh Rebecca itu merujuk Shahida sebagai seorang wanita bermulut lancang.
“Saya pernah kerja dengan DS. Dia kalau maki staf memang tak bincang dah. Maki ya bukan marah. Tak kira depan orang ke,tengah live ke. Baru-baru ini dia cakap dia kerja penat sebab nak bayar gaji staf, nak bagi bonus kat staf baru.
“Ini dia buat makan di pejabat, tapi staf terpilih je boleh makan. Yang tak terpilih tak boleh sertai majlis.
“Sembang nampak macam baik sangat, buat live reward staf makan, yang tahu saja tahu. Sebab itu staf ramai berhenti. Dengar kata syarat nak kerja situ tak boleh cerdik sangat,tak boleh pandai sangat, dia rasa tercabarlah konon,”tulis individu itu.
Bagaimanapun, rata-rata pengikut di media sosial menyifatkan Rebecca seharusnya berhenti memuat naik sebarang kenyataan di media sosial supaya tidak mengeruhkan lagi perkara ini.
“Sudah-sudahlah kongsikan benda-benda ini. Bila terlalu banyak pos benda yang tak baik pasal sebelah sana,nanti lama-lama nampak kita yang jahat sebenarnya,” tulis Anemzohari.
“Apabila kongsikan benda-benda begini orang jadi tak tak hormat dengan dgn Datin. Apa kata diam saja.
“Tak perlu buka pekung siapa-siapa. Lama kelamaan orang akan diam. Apabila asyik muat naik macam ini, tak matang dan tak profesional,”tulis Shahkira84.
Selain itu, seorang lagi pengguna turut mencadangkan supaya Rebecca bermuhasabah diri.
“Macam orang tak cerdiklah pos benda-benda begini sebab nak nampak sebelah sana buruk sangat.
“Sebelah sana tidak pula nak apa yang orang DM berkaitan awak. Bawalah muhasabah diri , kadang diri itu pun bermasalah jangan tuding jari kepada orang,”katanya.
Pertelingkahan antara dua personaliti terkenal, Shahida dan Rebecca semakin menjadi bualan hangat netizen selepas masing-masing saling berbalas kenyataan di media sosial.
Terdahulu, Rebecca tampil menjawab dakwaan mengatakan dirinya mahu menumpang populariti perkahwinan abangnya bersama Bonda Rozita apabila sering memuat naik gambar dan video mereka bersama.
Apa yang mencuri perhatian ialah, pelakon filem ‘Keramat’ itu turut memperdengarkan rakaman suara seorang wanita yang membangkitkan isu tersebut dan dipercayai suara tersebut adalah milik isteri usahawan Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Datin Seri Nur Shahida.
Tidak terhenti di situ, pelakon tersebut turut menyifatkan individu yang melemparkan dakwaan itu sebagai seorang yang tidak mempunyai akal.