Ceria sambut Hari Raya Aidilfitri, 20 murid asnaf terima bantuan

Ceria sambut Hari Raya Aidilfitri, 20 murid asnaf terima bantuan

SEORANG ibu memilih pakaian anaknya bantuan Skuad Prihatin Asnaf di sebuah pasar raya bandar Inderapura, Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kekangan kewangan keluarga ketika menjalani ibadah puasa bulan Ramadan lalu sudah terubat bagi seramai 20 orang murid asnaf yang mampu mengukir senyuman dan ceria apabila masing-masing menerima bantuan pakaian dan duit poket untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Murid asnaf berkenaan masing-masing seramai lima orang yang dipilih daripada empat buah sekolah kawasan bandar dan pinggir bandar Jerantut, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Inderapura, SK Bandar Jerantut, SK Teh dan SK Pulau Mansok.

Mereka yang bertuah menerima sumbangan daripada pengurusan Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ) yang diselenggarakan oleh ahli jawatan kuasa Skuad Prihatin Asnaf masjid tersebut.

Bercakap kepada Utusan Pelajar, Pengerusi Skuad Prihatin Asnaf MTMAJ, Mohd. Zamri Mat berkata, program sumbangan untuk murid asnaf merupakan aktiviti tahunan menjelang Hari Raya Aidilfitri bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga mereka di sekitar bandar Jerantut khususnya keperluan pakaian baharu menyambut hari raya.

“Dana yang diperuntukkan merupakan sebahagian daripada tabung MTMAJ serta anggota Skuad Prihatin Asnaf dan selebihnya merupakan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan dermawan tempatan.

 

“Sumbangan daripada Skuad Prihatin Asnaf MTMAJ ini bukan sahaja untuk murid asnaf, mereka kurang berkemampuan malahan bantuan turut disalurkan kepada sekolah tahfiz, Orang Kurang Upaya, pesakit kronik, warga emas dan ibu tunggal sekitar bandar Jerantut,” katanya baru-baru ini.

Mohd Zamri yang juga seorang pesara guru di SK Pulau Mansok berkata, murid asnaf berkenaan ditemani oleh ibu bapa, penjaga dan guru masing-masing telah dibawa ke sebuah pasar raya di bandar Inderapura, Jerantut memilih sendiri pakaian baharu dengan bantuan seramai 12 orang ahli jawatan kuasa Skuad Prihatin Asnaf.

Katanya, murid berkenaan memilih sepasang pakaian raya masing-masing bernilai RM150, manakala mereka turut diberi sagu hati ‘duit raya’ sebanyak RM50 selepas berbelanja di pasar raya berkenaan.

Mohd Zamri berkata, sumbangan itu bertepatan dengan kewajiban amal jariah yang digariskan oleh Islam menerusi firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 26 bermaksud: Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Inderapura, Jerantut, Nor Hayazi Yusoff berkata, aktiviti amal jariah yang dilakukan oleh Skuad Prihatin Asnaf MTMAJ amat signifikan berasaskan nilai kemanusiaan untuk meringankan beban keluarga murid asnaf tersebut ketika menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Pihak sekolah juga turut menyalurkan sumbangan kepada murid asnaf dan mereka yang memerlukan bukan sahaja ketika menyambut hari raya, malahan sepanjang tahun khususnya melibatkan bantuan pembelajaran dan kebajikan tertentu supaya mereka berkenaan selesa dan bersemangat untuk belajar,” katanya.

Nor Hayazi menambah, usaha kebajikan skuad tersebut wajar diteruskan sepanjang tahun dengan menambah lagi jumlah bilangan untuk penerima murid asnaf dari sekolah lain yang juga memerlukan bantuan ketika menjelang sambutan hari raya.

Murid asnaf SK Inderapura, Akmal Rizal Abd. Malik, 12, berkata, dia teruja apabila diberitahu oleh guru besar untuk menerima bantuan pakaian raya tahun ini.

“Saya memilih satu set pakaian baju Melayu, kain samping berwarna coklat dan songkok untuk dipakai semasa hari raya nanti.

“Inilah hari yang bertuah dan bermakna apabila berpeluang memilih pakaian raya di pasar raya. Tanpa bantuan mereka (Skuad Prihatin Asnaf) dan guru sudah tentu saya memakai pakaian raya tahun lalu yang sudah lusuh,” katanya.

Perasaan yang sama terukir bagi murid SK Pulau Mansok, Asraf Mat Anuar, 11, menyifatkan pakaian baharu yang diperoleh memberikan keceriaan serta bersemangat untuk menyambut hari raya bersama rakan di kampung itu.

“Pada mulanya, ketika permulaan puasa, saya berasa sedih kerana keluarga tidak mampu dan belum tentu dapat berbelanja baju raya, tetapi setelah diberitahu oleh guru besar mengenai bantuan ini, saya amat gembira,” katanya.

Dia dan rakan sangat berterima kasih kepada Skuad Prihatin Asnaf MTMAJ dan tetap bersimpati dengan rakan (asnaf) di tempat lain sambil berharap menerima bantuan yang sama supaya dapat memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN