BUTTERWORTH : Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah menculik seorang kanak-kanak istimewa berusia lima tahun, bulan lepas.
Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal memerintahkan tertuduh, Jasri Ismail, 36, menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 31 Mac lalu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menculik seorang kanak-kanak lelaki dari bawah penjagaan bapanya yang berusia 42 tahun di tempat letak kenderaan Masjid Kampung Banggol Pokok Sena, Kepala Batas pukul 8.20 malam, 30 Mac lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh kemudiannya memohon budi bicara mahkamah untuk menjatuhkan hukuman penjara minimum atas alasan lelaki yang masih bujang dan bekerja sebagai buruh dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,800 itu perlu menyara ibunya yang berusia 75 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana menculik kanak-kanak berusia lima tahun yang juga berstatus istimewa iaitu mempunyai masalah autisme.
“Kejadian juga berlaku pada malam Hari Raya Aidilfitri yang mana sepatutnya mangsa menggunakan waktu tersebut untuk bersama keluarganya,” katanya yang memberitahu, suspek juga didapati turut mencederakan mangsa susulan terdapat kesan luka pada badan kanak-kanak tersebut.
Sementara itu, Aini Adilah turut menjatuhkan hukuman setahun penjara terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah mencuri kereta jenis Honda BRV milik bapa kepada kanak-kanak lelaki yang diculiknya serta mengarahkan barang kes diserah semula kepada pemilik asal.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki ditahan polis selepas dia melarikan sebuah kereta bersama kanak-kanak autisme sebelum diberkas bersama mangsa dalam kenderaan berkenaan di sebuah stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Behrang, Perak.-UTUSAN