Bukan tempoh PM jadi ukuran, prestasi lebih penting

Bukan tempoh PM jadi ukuran, prestasi lebih penting

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tempoh menjadi Perdana Menteri tidak perlu menjadi keutamaan sekiranya seseorang pemimpin itu mampu mengemudi negara dengan cemerlang dan disenangi semua pihak.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan mengehadkan penggal mungkin berpunca daripada perebutan kuasa dalam kalangan parti tertentu, namun tidak wajar dikenakan secara menyeluruh kepada semua pihak.

“Contohnya kalau Perdana Menteri yang ada sekarang dalam setahun pun sudah merapu, tak perlu tunggu dua penggal, lebih baik undur awal. Ia bukan soal tempoh, tetapi prestasi.

“Tapi kalau Perdana Menteri bagus, kita hadkan dua penggal, kita yang rugi. Kalau tak bagus, tapi kita benarkan dua penggal juga rugi. Jadi, kenapa perlu hadkan? Saya sendiri pun kalau rasa tak mampu tadbir lagi, saya akan undur sendiri. Tak payah lah buat undang-undang, ia bergantung kepada pemimpin itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi ditanya kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang berkata, kajian bagi mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun berkemungkinan turut membabitkan jawatan ketua menteri dan menteri besar.

Katanya, pelantikan jawatan menteri besar tidak tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan ia dihadkan dalam tempoh tertentu sekiranya dilaksanakan.

Bagaimanapun Muhammad Sanusi berkata, sekiranya Kerajaan Persekutuan mahu mana-mana akta diterima pakai oleh kerajaan negeri, ia perlu dibawa ke sidang DUN untuk diluluskan terlebih dahulu.

“Kerajaan negeri mempunyai kuasa autonomi dan tidak tertakluk secara automatik kepada sebarang akta atau keputusan yang dibuat di peringkat Persekutuan.

“Jawatan Menteri Besar Kedah dilantik berdasarkan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah, dan tiada kaitan secara langsung antara kuasa negeri dan Persekutuan dalam hal tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN